Pengukuhan ekonomi, Ringgit dorong Malaysia capai status berpendapatan tinggi menjelang 2027 – Rafizi

Pengukuhan ekonomi, Ringgit dorong Malaysia capai status berpendapatan tinggi menjelang 2027 – Rafizi

kartika@mediaprima.com.my

Putrajaya: Malaysia mempunyai kelebihan dan berpotensi menjadi Harimau Asia dari segi ekonomi dalam kalangan negara serantau, dengan memfokus kepada sektor bernilai tinggi.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, potensi Malaysia untuk mencapainya memang ada dan disebabkan itu juga, masyarakat antarabangsa sekarang memberi tumpuan kepada Malaysia untuk melihat sama ada negara boleh menggunakan kelebihan ini untuk berada di hadapan.

“Bagaimanapun, ini bukan soal menjadi ‘Harimau Asia’ atau tidak, kerana ia bukan diukur daripada jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK), semata-mata, tetapi termasuk kompleksiti ekonomi, eksport dan sebagainya.

“Ketersediaan Malaysia dalam sektor ekonomi masa akan datang dari segi kemampanan, pertumbuhan pusat data, dan potensi kita meluaskan industri mikrocip melangkaui aktiviti sedia ada serta mengukuhkan pusat data perlu dilaksanakan berlandaskan kepada ekonomi pada masa ini.

“Potensi Malaysia ini memang ada dan disebabkan itu juga, masyarakat antarabangsa memberi tumpuan kepada Malaysia sekarang untuk melihat sama ada kita boleh menggunakan kelebihan ini untuk berada di hadapan.

“Jika KDNK terus berkembang sekitar empat ke lima peratus setiap tahun dan mata wang ringgit mengukuh sekitar RM4.20 setiap dolar (Amerika Syarikat) beberapa tahun akan datang, tidak mustahil Malaysia mampu menjadi negara maju dan mencapai status negara berpendapatan tinggi dari 2027 ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Penemuan Banci Ekonomi (Be) 2024 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top