mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Penunggang motosikal bersama isteri dan anaknya berdepan detik mencemaskan selepas dihimpit dan nyaris dilanggar sebuah kereta di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), di sini, semalam.
Video kejadian itu turut tular di media sosial yang memaparkan penunggang berkenaan iaitu Izrin Ashrafi, 33, bersemuka dengan pemandu wanita berusia 38 tahun.
Menurut Izrin, kejadian berlaku kira-kira 9 pagi ketika dia bersama isteri Nurul Shazureen, 33, dan anak, Ayla Camilla, 4, melepasi plaza tol lebuh raya itu yang berhampiran susur keluar Jalan Haji Sirat.
Dakwanya, ketika di kawasan susur itu sebuah kereta jenis Toyota Vios memberikan lampu isyarat ke kanan pada saat akhir dan terus memasuki lorong, menyebabkan motosikalnya hampir dilanggar.
“Ketika itu, saya hon untuk menunjukkan kehadiran saya dari belakang dan juga kerana tindakan dia sangat bahaya.
“Dia membenarkan saya memotong sebelum bergerak ke belakang saya, kemudian memotong dari sebelah kanan sambil membunyikan hon semula.
“Saya percaya itu sebagai tanda protes atau marah kerana saya membunyikan hon (pada awalnya),” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Tidak cukup itu dakwanya, pemandu Toyota Vios berkenaan kemudian menghimpit motosikal yang ditunggangnya, memaksa dia mengelak sekali gus menjauhkan mereka tiga beranak daripada kecelakaan.
“Dia seperti sengaja menghimpit saya dan ingin melanggar saya sekeluarga. Alhamdulillah saya sempat mengelak,” katanya yang memaklumkan dia mengejar kenderaan berkenaan untuk bersemuka dengan pemandunya.
Izrin berkata, video dia bersemuka dengan pemandu itu dimuat naik di media sosial untuk mendapatkan pandangan serta memberi pengajaran kepada pengguna jalan raya.
“Saya turut membuat laporan polis untuk tindakan lanjut serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Lebuhraya AKLEH.
“Wanita itu juga mengaku situasi terbabit dan meminta maaf dengan saya tetapi bagi saya, permohonan maaf sahaja tidak cukup.
“Perkara ini melibatkan nyawa dan juga tingkah laku cara pemanduan orang lain (yang boleh membahayakan nyawa orang),” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Pemandu wanita terbabit sudah ditahan dan diberi jamin polis sementara siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
