am@hmetro.com.my
Gua Musang: Bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail, 41, diumumkan sebagai calon Bersatu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, bulan depan.
Pengumuman itu dibuat oleh Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, di sini, hari ini.
Mohd Nassuruddin berkata, Rizwadi yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dipilih kerana faktor usia calon yang masih muda dan pengundi muda di DUN Nenggiri adalah tinggi.
“Calon diumumkan seorang aktivis yang aktif dan pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang selain seorang pesara TLDM.
“Mohd Rizwadi yang juga penduduk di Bertam Lama dan menyertai Bersatu demi penduduk Nenggiri.
“Beliau tidak pernah meminta untuk menjadi calon sebaliknya, ia adalah pilihan Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Turut hadir, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin; Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




