Kegembiraan bertukar jadi kemarahan, jurugambar pijak bat pingpong

Kegembiraan bertukar jadi kemarahan, jurugambar pijak bat pingpong

Paris: Pemain pingpong China berusia 24 tahun, Wang Chuqin, sangat gembira selepas meraih pingat emas Olimpik pertamanya bersama rakan sepasukan Sun Yingsha semalam.

Namun, kegembiraannya segera bertukar kepada tidak percaya, marah dan kecewa apabila dia mendapati bat miliknya rosak akibat tindakan jurugambar yang teruja untuk merakam detik bersejarah itu.

Chuqin yang kelihatan kecewa cuba meminta penjelasan.

Jurulatihnya cuba memeluk untuk meminta dia bertenang

“Pada masa itu, saya hilang kawalan terhadap emosi saya sedikit. Saya tidak faham mengapa jurugambar perlu melakukan perkara sebegitu,” kata Chuqin, yang masih kelihatan terkesan dengan insiden itu.

“Saya rasa mereka tidak berniat begitu. Saya tidak boleh berbuat apa-apa sekarang kerana ia sudah berlaku. Saya percaya saya masih boleh bermain dengan baik menggunakan bat gantian saya. Mungkin ini adalah takdir.”

Chuqin dan rakannya Yingsha, yang kini meraih pingat emas beregu campuran yang tidak dapat diraih oleh China di Tokyo, adalah antara atlet paling popular di China dengan memiliki ramai pengikut setia.

Ramai peminat menyatakan kemarahan terhadap jurugambar di media sosial China, Weibo.

Dengan masa yang singkat untuk meraikan kemenangan mereka, Chuqin akan berhadapan dengan pemain Sweden, Truls Moregard dalam pusingan ke-32 acara perseorangan lelaki dan akan bersaing menentang India dalam saingan berpasukan bermula pada 6 Ogos.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top