Mohamad Halim mengaku tak bersalah tuduhan perdaya bekas KP Jabatan Laut

Mohamad Halim mengaku tak bersalah tuduhan perdaya bekas KP Jabatan Laut

SHAH ALAM – Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia (JLM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperdaya individu dengan mengemukakan Surat Kementerian Pengangkutan (MOT) sehingga mendorong bekas atasannya mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat-syarikat perkapalan.

Berdasarkan pertuduhan, Kapten Mohamad Halim Ahmed, 57, bapa tiga anak yang ketika itu Setiausaha Bahagian Maritim Kementerian Pengangkutan pada 27 Oktober 2020 di Ibu Pejabat Laut, JLM, Pelabuhan Klang telah menipu individu yang sebelum ini menjawat jawatan ketua pengarah dengan mengemukakan surat MOT yang menyatakan menteri pada ketika itu memutuskan tempoh syarikat-syarikat perkapalan yang diberikan pengecualian membawa heavy grade oil di dalam perairan Malaysia perlu dikekalkan.

Bagaimanapun sebenarnya tiada kelulusan sedemikian diberikan.

Jelas pertuduhan, tindakan berkenaan menyebabkan bekas KP JLM berkenaan mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat-syarikat perkapalan.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang membawa kepada hukuman penjara lima tahun atau denda.

Terdahulu, pasukan pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili oleh Ahmad Feisal Mohd Azmi manakala tertuduh diwakili peguamnya, Farhan Read.

Hakim, Datuk Anita Harun kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000.

Sebelum itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah meletakkan jumlah jaminan antara RM50,000 hingga RM70,000.

Namun, Farhan berkata, jumlah tersebut tidak setimpal dengan pertuduhan yang dihadapi anak guamnya kerana tidak melibatkan sebarang kerugian.

Selain itu, syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah hari ini adalah menyerahkan pasport antarabangsa, melaporkan diri di pejabat SPRM Selangor selain tidak boleh menganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Dalam masa yang sama, Mahkamah Sesyen menetapkan 7 Oktober sebagai tarikh pengurusan kes dan serahan dokumen.-MalaysiaGazette

Scroll to Top