Amanah di sebalik secawan kopi

Amanah di sebalik secawan kopi

amir_hamid@mediaprima.com.my

Isu halal sering menjadi topik hangat yang diperdebatkan di media sosial termasuk juga dalam kepesatan budaya kopi (coffee culture) yang melanda negara.

Namun, bagi Ahmad Aminurrashid Abd Aziz, 36, isu halal bukan sekadar perdebatan kosong atau sekadar menampal pelekat logo pada pintu premis.

Sebagai pengurus halal dan pematuhan di Luckin Coffee Malaysia, dia yang lebih mesra dipanggil Amin Aziz memikul amanah besar bagi memastikan setiap cawan yang disajikan kepada pelanggan memenuhi piawaian syarak yang tertinggi.

Mengenang kembali pembabitannya dalam bidang ini, Amin memberitahu, segalanya bermula pada 2008.

Ketika itu, kesedaran industri terhadap keperluan jawatan eksekutif halal masih di peringkat awal.

Namun, sebagai graduan muda dia sudah melihat potensi besar yang bakal dibawa industri halal.

“Saya percaya kesedaran masyarakat akan meningkat seiring perkembangan industri makanan dan gaya hidup. Untuk mendalami bidang ini dengan lebih serius, saya menyambung pengajian sehingga memperoleh Ijazah Sarjana (Master) Pengajian Islam.

“Ilmu syariah sangat penting supaya setiap tindakan saya berpaksikan hukum yang tepat,” katanya memulakan bicara.

Bagi Amin, tanggapan bahawa halal hanya terhad kepada bahan makanan adalah satu fahaman yang perlu diperbetulkan.

Beliau menekankan, konsep Halalan Toyyiban sebenarnya adalah merangkumi aspek kebersihan, keselamatan dan kualiti pengurusan.

“Hari ini, pengguna mahu tahu bagaimana sesuatu produk dihasilkan. Mereka menitikberatkan integriti operasi.

“Halal kini sudah menjadi satu standard kualiti yang diyakini secara universal, termasuk oleh komuniti bukan Islam,” jelasnya.

Menyedari ada banyak juga maklumat tidak tepat tular mengenai halal di media sosial, Amin mengambil pendekatan proaktif dengan menghasilkan kandungan digital.

Menurutnya, dia menggunakan platform video pendek dan penulisan kreatif untuk menjelaskan isu teknikal berkaitan pensijilan halal dengan cara lebih santai.

“Antara salah faham yang paling kerap ditemukan ialah jangkaan masyarakat bahawa sesebuah kedai boleh mendapat sijil halal sebaik sahaja dibuka.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memerlukan premis beroperasi terlebih dahulu untuk proses audit lapangan yang membabitkan semakan bahan mentah, dokumentasi dan latihan pekerja.

“Bukan hari ini buka kedai, hari ini dapat sijil halal. Ada proses pemantauan yang ketat. Begitu juga jika diambil tindakan sijil digantung sementara, ia tidak semestinya isu bahan haram.

“Ada kalanya ia membabitkan masalah teknikal pengurusan atau kebersihan yang perlu diperbaiki segera,” tambahnya.

Menguruskan pematuhan halal bagi rangkaian kopi yang mempunyai banyak cawangan bukan tugas mudah. Cabaran terbesar Amin adalah memastikan konsistensi.

Amin berkata, dia perlu memastikan Sistem Jaminan Halal (HAS) benar-benar dihayati oleh setiap barista dan kakitangan, bukan sekadar dokumentasi atas kertas.

Namun, ada satu perkara yang sering menyentuh hati Amin sepanjang bertugas apabila melihat rakan sekerja bukan Islam turut sama sangat komited dalam menjaga integriti halal.

“Mereka tidak melihat halal sebagai bebanan, sebaliknya sebagai satu disiplin kerja.

“Apabila kakitangan bukan Islam juga bangga menjaga standard halal, itu menunjukkan kejayaan sistem yang kita bangunkan. Integriti halal adalah usaha berpasukan, daripada pihak atasan sehingga kakitangan di stor,” katanya.

Menutup perbualan, Amin menyifatkan barisan eksekutif halal di Malaysia adalah umpama wira tidak didendang.

Tugas mereka mungkin tidak kelihatan di depan mata pelanggan, namun peranan mereka amat kritikal dalam menjaga rantaian bekalan makanan negara adalah halal dan suci.

Amin menyeru supaya lebih ramai anak muda menceburi bidang ini kerana masa depannya yang sangat luas.

“Prinsip saya mudah. Lakukan kerja dengan amanah kerana ia adalah sebahagian daripada tuntutan agama. Teruskan menjaga integriti dan mempertahankan standard halal.

“Di sebalik setiap sijil yang anda lihat, ada amanah besar yang sedang dipikul demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top