Kim Swee jawab aksi hambar Sabah

Kim Swee jawab aksi hambar Sabah

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kehilangan tonggak utama adalah punca mengapa Sabah FC lunyai di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras apabila tewas 0-3 di tangan Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam aksi Liga Super, malam tadi.

Perkara itu diakui pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee yang berkongsi rasa kecewa di atas kekalahan itu.

“Masih ramai pemain Sabah yang mengalami kecederaan. Kita kehilangan Gabriel Peres, Park Tae-su dan juga Saddil Ramdani akibat kecederaan.

“Park Tae-su bermain tetapi dikeluarkan akibat kecederaan. Saddil juga terpaksa diketepikan, kita perlu memikirkan solusi untuk perkara ini,” katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan bermula rancak dengan saling menyerang sehinggalah memasuki minit 36 apabila Sabah FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Rawilson Batuil dilayangkan kad merah kerana didakwa bola terkena tangannya di dalam kotak penalti.

Begitupun, Paulo Josue yang mengambil sepakan itu gagal menyempurnakan penalti untuk menghampakan kem tuan rumah.

Gol yang dicari akhirnya terhasil menerusi gol sendiri pertahanan Sabah, Kwang Min ko yang tertanduk bola ke gawang selepas diberi tekanan oleh Brendan Gan di hujung babak pertama.

Pada minit 61, Josue menebus kesilapan di babak pertama apabila dia meledak gol kedua sebelum Zhafri Yahya melebarkan kelebihan buat KL City dengan kemenangan 3-0.

Hasil keputusan itu menyaksikan skuad Warga Kota mendaki ke tangga ketiga liga dengan 11 mata selepas enam aksi, manakala skuad The Rhinos menghuni posisi keenam dengan 10 mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top