Alcaraz cemerlang tempah slot ke separuh akhir

Alcaraz cemerlang tempah slot ke separuh akhir

Paris: Pemain nombor tiga dunia Carlos Alcaraz semakin hampir ke pertembungan Olimpik menentang Novak Djokovic dengan persembahan yang luar biasa hingga mendorong Ratu Sepanyol memberi penghormatan kepadanya.

Alcaraz, yang beraksi di Court Philippe Chatrier di Roland Garros yang sama di mana dia memenangi Terbuka Perancis pada jun lalu, menewaskan pemain di kedudukan ke-13 Tommy Paul dari Amerika Syarikat dengan keputusan 6-3, 7-6 (9/7).

Alcaraz yang berusia 21 tahun itu bangkit selepas ketinggalan dalam set kedua untuk mengalahkan Paul dan dia juga pernah menewaskan pemain Amerika itu dalam suku akhir di Wimbledon dalam perjalanannya meraih gelaran di All England Club bulan lalu.

Dalam tie-break set kedua, ketika dia terpaksa menyelamatkan satu mata set, situasi terbabit terlalu hebat walaupun untuk Ratu Letizia, yang kelihatan gugup di tepi gelanggang sebelum menyertai tepukan gemuruh lalu berdiri meraikan kemenangan Alcaraz.

“Mungkin saya sedikit penat daripada kekalahan semalam, bermain dengan Rafa (Rafael Nadal) tetapi saya memberikan segalanya di atas gelanggang.

“Saya terpaksa bermain dengan intensiti tinggi kerana Paul adalah pemain yang hebat. Saya sedikit penat di penghujungnya tetapi saya hanya ingat bahawa saya bermain untuk negara saya serta diri saya sendiri,” kata Alcaraz.

Bintang Sepanyol itu akan berdepan sama ada Casper Ruud atau Felix Auger-Aliassime untuk mengesahkan tempat dalam perlawanan pingat emas.

Pilihan utama Djokovi akan bertarung dengan Stefanos Tsitsipas dalam suku akhir.

tamat//-

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top