Kuala Lumpur: Pelakon Aniq Suhair, 26, mendedahkan mengalami kecederaan pada lutut ketika menjalani penggambaran filem Bisikan Nafsu di Terengganu sehingga menerima enam jahitan.
Aniq atau nama lengkap, Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh berkata, dia terjatuh ketika hendak menyeberangi sungai iaitu sewaktu menjayakan satu babak dalam filem berkenaan.
“Dalam babak itu, saya perlu menyeberangi sungai, tetapi saya terjatuh dan salah mendarat. Ini menyebabkan lutut terbelah sehingga kena enam jahitan.
“Ketika itu, saya terpaksa habiskan babak berkenaan. Kalau editor ambil, memang nampak kaki saya berlumuran darah.
“Selesai penggambaran, saya terus pergi ke unit kecemasan untuk mendapatkan rawatan. Doktor cakap, kalau saya teruskan penggambaran, ligamen saya akan putus,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi bagi mempromosikan filem terbaharu lakonannya, Bisikan Nafsu, baru-baru ini.
Mengulas tempoh pemulihan, Aniq berkata, dia memerlukan tempoh empat bulan untuk pulih sepenuhnya.
“Saya ambil masa agak lama untuk pulih, kira-kira empat bulan sebab lutut adalah bahagian yang selalu berlipat dan banyak bergerak.
“Jadi, saya bertongkat selama sebulan sebelum boleh berjalan dengan baik, manakala untuk dapat sujud (dalam solat) seperti biasa mengambil masa empat bulan,” katanya.
Bagaimanapun, pengalaman berkenaan tidak membuatkan Aniq serik untuk melakukan babak mencabar, sebaliknya mengajarnya agar lebih peka terhadap aspek keselamatan ketika berada di set penggambaran.
“Sebenarnya, untuk buat babak ekstrem, kita kena lebih berhati-hati. Waktu kejadian itu saya terlalu ambil mudah dan terlepas pandang perkara yang nampak mudah.
“Memang ada pasukan ‘stunt’ ketika itu, tetapi mungkin kerana babak itu nampak mudah dan tidak terlalu tinggi, ia dipandang ringan.
“Tetapi, ketika itu mungkin sebab salah kasut yang menjadi punca saya jatuh. Jadi, keselamatan memang sangat penting dan jangan terlalu ambil mudah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
