PH Johor perhebat fungsi pengimbang, pantau 63 tekad BN

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor akan memperkukuh peranannya sebagai pihak pengimbang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan memantau secara berkala pelaksanaan 63 tekad manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berkata, PH Johor akan memperkenalkan ‘dashboard’ yang dikemas kini setiap bulan bagi memberikan gambaran mengenai status pelaksanaan setiap tekad berkenaan.

“Sebagai ADUN, antara tanggungjawab saya adalah memantau pelaksanaan manifesto BN dan memastikan janji yang dibuat kepada rakyat diberikan perhatian.

“BN Johor mengemukakan 63 tekad pada PRN lalu, jadi kita akan pantau satu persatu melalui dashboard yang akan dikemas kini setiap bulan,” katanya selepas merasmikan Karnival Merdeka di Stadium Olahraga Mount Austin, di sini, pada Sabtu.

Maszlee yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkata, pendekatan itu membolehkan rakyat mengetahui dengan lebih jelas perkembangan setiap janji sama ada sudah dilaksanakan, sedang dalam proses atau masih belum dicapai.

“Kita tahu BN mengemukakan lebih 60 ikrar ketika PRN Johor dan kita akan memaparkan setiap bulan sejauh mana ikrar-ikrar ini sudah dicapai.

“Sekiranya masih belum dicapai, kita akan membawa perkara ini kepada perhatian rakyat dan mendapatkan pandangan mereka untuk dibawa kepada kerajaan negeri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Maszlee berkata, pelantikan ADUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng, sebagai Ketua Pengimbang DUN Johor dibuat berdasarkan persetujuan bersama antara parti komponen PH negeri.

Katanya, Andrew dipilih kerana merupakan ADUN PH paling senior selain mempunyai pengalaman dalam menjalankan fungsi sebagai pengimbang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pelantikan itu tidak bermakna tanggungjawab mengawasi kerajaan negeri hanya terletak kepada Ketua Pengimbang.

“Kesemua tujuh wakil PH yang lain tetap mempunyai peranan masing-masing sebagai pemantau yang berkesan.

“Mereka akan menjadi suara, telinga dan mata rakyat dalam DUN Johor,” katanya.

Pada PRN Johor lalu, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, melancarkan manifesto PRN Johor ke-16 yang mengandungi 63 tekad berteraskan enam teras Maju Johor dengan tema ‘Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan’.

Scroll to Top