Bukit Mertajam: Pulau Pinang akan memberikan ganjaran lumayan kepada atlet yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak bermula 17 hingga 24 Ogos ini.
Tanpa mendedahkan nilai ganjaran itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata ganjaran akan diberikan kepada atlet yang menyumbang kilauan pingat tanpa mengira warna.
“Kita antara negeri yang komited dalam memberi wang ganjaran bukan hanya kepada atlet menyertai Sukma tetapi juga semua temasya sukan berprestij yang lain.
“Sekiranya sasaran kita dapat dicapai, ganjaran lumayan menanti atlet daripada Pulau Pinang…(pingat) emas, perak dan gangsa semua ada ganjaran,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Pulau Pinang ke Sukma XXI Sarawak 2024 di sini hari ini.
Majlis penyerahan bendera tersebut dirasmikan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Daniel yang juga chef de mission SUKMA Pulau Pinang berkata negeri itu mempertaruhkan 606 atlet menerusi 35 jenis sukan dalam misi mencapai sasaran 40 pingat emas.
“Sekiranya semua atlet kita dapat beraksi dengan prestasi terbaik, saya percaya sasaran 40 pingat emas bukan sesuatu yang mustahil dicapai oleh kontinjen Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata kontinjen negeri itu menampilkan hampir keseluruhan muka baharu dan menyifatkan ia sebagai semangat positif untuk atlet muda mengharumkan nama negeri di temasya dwitahunan itu.
Sementara itu, Mohamad berkata semua pihak termasuk jurulatih, pengurus pasukan, sukarelawan dan ibu bapa memainkan peranan dalam memastikan atlet bersedia dari segi fizikal dan mental untuk bersaing di Sarawak.
Sebagai ikon yang membawa aspirasi dan harapan Pulau Pinang di SUKMA, beliau berkata setiap atlet diharap dapat mempamerkan semangat kesukanan dan keupayaan untuk bangkit daripada cabaran dalam usaha meraih pingat.
Pada SUKMA edisi lepas yang diadakan di Kuala Lumpur menyaksikan kontinjen Pulau Pinang meraih 30 pingat emas, melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 26.
© New Straits Times Press (M) Bhd




