Finland: Pelumba Toyota, Sami Pajari meneruskan aksi cemerlang apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam Kejuaraan Rali Dunia (WRC) selepas muncul juara Rali Finland, hari ini.
Kejayaan itu hadir hanya dua minggu selepas pelumba Finland berusia 24 tahun itu mencipta kemenangan sulung kariernya di Estonia, sekali gus menjadikan kemenangan di laman sendiri lebih bermakna buat dirinya.
Bersama juruarah Marko Salminen, Pajari menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 26.7 saat mengatasi rakan sepasukan, Oliver Solberg, sekali gus menghadiahkan kedudukan satu-dua buat Toyota.
Lebih manis, kemenangan itu turut melakar sejarah sebagai kemenangan ke-200 pelumba Finland dalam sejarah WRC, bersempena edisi ke-75 Rali Finland yang mula dianjurkan pada 1951 dengan nama 1,000 Lakes Rally.
“Ia sesuatu yang besar apabila menang di Estonia, tetapi kemenangan di laman sendiri sentiasa lebih istimewa,” kata Pajari.
Pajari mengambil alih kedudukan pendahulu pada Sabtu selepas rakan sepasukan yang juga juara dunia, Sebastien Ogier, terpaksa menarik diri akibat kemalangan.
Seorang lagi pelumba Toyota, Elfyn Evans melengkapkan penguasaan podium pasukan itu apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Keputusan itu membolehkan Evans terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan kejuaraan selepas 10 daripada 14 pusingan musim ini.
Pelumba Wales itu kini mendahului Pajari dengan kelebihan 30 mata, manakala pelumba Jepun, Takamoto Katsuta, jatuh ke tangga ketiga keseluruhan dan kini ketinggalan 41 mata di belakang Evans.
© New Straits Times Press (M) Bhd




