Kuala Lumpur: Penyanyi legenda, Datuk Sheila Majid menyifatkan pengurniaan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri bukan sekadar penghormatan peribadi, sebaliknya lambang pengiktirafan terhadap sumbangan seluruh anak seni dalam memartabatkan industri hiburan negara.
Sheila atau nama sebenarnya, Shaheila Abdul Majid, menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas pengurniaan yang diterima sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang di Istana Abdulaziz, Kuantan, semalam.
“Saya ingin mengucapkan syukur Alhamdulillah ke hadrat Ilahi atas pengurniaan ini.
“”Menjunjung kasih Ke bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur atas pengiktirafan yang begitu bermakna ini.
“Saya percaya pengurniaan ini bukan hanya untuk saya, tetapi turut melambangkan penghargaan kepada semua anak seni tempatan yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan industri seni negara,” katanya kepada BH Online.
Sheila adalah antara penerima Darjah SSAP yang membawa gelaran Datuk Seri sempena ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Lebih empat dekad mengukir nama dalam industri muzik, Sheila kekal sebagai antara penyanyi paling berpengaruh di Malaysia dan Indonesia menerusi rangkaian lagu malar segar seperti Sinaran, Legenda, Antara Anyer dan Jakarta, Warna serta Pengemis Muda.
Beliau turut mencipta sejarah apabila menjadi antara artis Malaysia terawal yang berjaya menembusi pasaran Jepun pada era 1980-an dan 1990-an, sekali gus memperkenalkan muzik tempatan ke peringkat antarabangsa.
Sepanjang perjalanan seninya, Sheila meraih pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Industri Muzik (AIM), selain pernah menerima pengiktirafan sebagai Ikon Seni dan terus aktif mengadakan persembahan di dalam serta luar negara.
Terdahulu, penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Jazz Negara itu dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada Oktober 2008.
© New Straits Times Press (M) Bhd




