Ipoh: Seramai 38 pelajar dari dua sekolah menengah di Bagan Datuk menerima Insentif Kecemerlangan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia 2025 daripada Yayasan Pelajaran MARA (YPM) sebagai penghargaan atas pencapaian mereka dalam peperiksaan itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penerima insentif itu terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari dan SMK Tun Abdul Razak.
“Lebih membanggakan saya, tiga anak Bagan Datuk turut berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar dalam bidang Syariah Islamiah dan Usuluddin selain 23 pelajar menerima Dana Ehsan Pendidikan YPM.
“Bagi saya, kejayaan ini membuktikan bahawa anak-anak Bagan Datuk mempunyai potensi yang besar apabila diberikan peluang, bimbingan dan sokongan sewajarnya,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata beliau sentiasa percaya pendidikan adalah pelaburan terbaik untuk mengubah kehidupan dan membina masa depan masyarakat.
“Kepada ibu bapa, teruslah menjadi kekuatan dan pendorong kepada anak-anak dalam mengejar ilmu… insya-Allah, saya mahu melihat lebih ramai lagi anak Bagan Datuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara, sebelum kembali menabur bakti demi kemajuan daerah yang kita cintai ini.
“Tahniah saya ucapkan kepada semua penerima. Teruskanlah melakar kejayaan dan mengharumkan nama Bagan Datuk,” menurut hantaran itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




