Jasa, sumbangan Tun Dr Siti Hasmah kepada negara wajar dikenang – Anwar

Jasa, sumbangan Tun Dr Siti Hasmah kepada negara wajar dikenang – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jasa dan khidmat bakti Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kepada negara wajar dikenang, khususnya sumbangan Allahyarham dalam kerja kebajikan serta keprihatinannya terhadap masalah rakyat.

Beliau berkata, Allahyarham dikenali sebagai negarawan yang aktif melaksanakan kerja kebajikan dan menunjukkan keprihatinan terhadap isu serta permasalahan rakyat, ketika suaminya Tun Dr Mahathir Mohamad berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

“Kita simpati pada Tun Mahathir dan keluarga dan kita juga kenang jasa dan khidmat dia kepada negara.

“Tun Dr Siti Hasmah aktif masa dia jadi isteri Perdana Menteri dengan kerja-kerja kebajikan dan keprihatinan terhadap masalah rakyat. Terima kasih atas jasa itu,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan pada persidangan International Future Conference 2026 (IFC 2026) di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) kampus Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Selain menzahirkan ucapan takziah kepada Dr Mahathir serta seluruh ahli keluarga, Anwar turut memaklumkan akan hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Terdahulu, Dr Siti Hasmah disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh orang anak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top