hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Akaun pemandu e-hailing yang sebelum ini dikesan bagi membantu siasatan berhubung rakaman video tular memaparkan seorang penumpang lelaki didakwa mengeluarkan kenyataan menghina al-Quran dan agama Islam di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini masih aktif.
Grab Malaysia (Grab), dalam kenyataan yang dikongsikan di media sosial, memaklumkan tiada tindakan diambil terhadap akaun pemandu itu dan akaun individu terbabit kekal aktif.
Menurutnya, pihaknya memahami kebimbangan yang timbul akibat perkara berkenaan dan sudah menghubungi Danial (pemandu terbabit) untuk menawarkan sokongan penuh.
Katanya, pihaknya mengamalkan polisi tanpa toleransi terhadap sebarang bentuk diskriminasi dan sedang memantau laporan itu sambil memberikan sokongan penuh kepada siasatan pihak berkuasa.
“Kami ingin menjelaskan bahawa tiada tindakan diambil terhadap akaun rakan pemandu terbabit dan akaunnya kekal aktif memandangkan beliau tidak berada di bawah sebarang siasatan sewaktu pihak kami meneliti insiden berkenaan.
“Grab juga sudah menghubungi pemandu berkenaan untuk memberikan bantuan dan sokongan yang sewajarnya kerana setiap rakan pemandu berhak beroperasi dalam persekitaran yang selamat dan dihormati,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Grab berkata, untuk sebarang keraguan atau kemusykilan, pihaknya menggalakkan rakan pemandu untuk sentiasa merujuk saluran rasmi Grab seperti RRC (Rakan Representative Committee) atau platform media sosial rasmi Facebook dan TikTok Rakan Grab serta tidak bergantung kepada spekulasi atau sumber tidak rasmi.
Katanya, Kod Etika Grab digubal untuk melindungi rakan pemandu serta pengguna platform dengan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk diskriminasi, ungkapan benci atau gangguan.
“Tiada sebarang akaun akan digantung atau dinyahaktifkan tanpa siasatan yang teliti dan bukti pelanggaran yang kukuh.
“Kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang sedang menjalankan siasatan berhubung insiden ini,” katanya.
Semalam, pemandu e-hailing berkenaan berkongsi hantaran di TikTok mendakwa dia menerima maklumat daripada pihak atasan yang berkemungkinan akaun Grabnya akan disekat dalam masa terdekat susulan video tular berkenaan.
Dia kemudian berkongsi hantaran, hari ini, yang memaklumkan pihak Grab sudah menghubunginya dan menjelaskan situasi yang berlaku selain turut memaklumkan akaunnya tidak akan disekat.
Terdahulu, media melaporkan polis sedang mengesan seorang pemandu e-hailing bagi membantu siasatan berhubung rakaman video tular memaparkan seorang lelaki didakwa mengeluarkan kenyataan menghina al-Quran dan agama Islam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei dipetik berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai polis berhubung video berkenaan pada jam 3.25 petang, Jumaat lalu.
Dalam rakaman tular itu, suara seorang lelaki dipercayai penumpang e-hailing didengar mengeluarkan kenyataan mendakwa al-Quran mengajar mengenai pembunuhan.
Bagaimanapun, pemandu e-hailing berkenaan dipercayai membidas kenyataan berkenaan dan meminta penumpang terbabit berhati-hati ketika berbicara mengenai agama Islam.
Pemandu itu turut menegaskan supaya agama Islam tidak dihina sebelum penumpang berkenaan dipercayai meminta maaf dan turun selepas kenderaan berkenaan berhenti di tepi jalan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




