Bukan rosak, cuma satu tren Aerotrain beroperasi

Bukan rosak, cuma satu tren Aerotrain beroperasi

nurul_husna@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kesesakan teruk di Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini, berpunca daripada pengoperasian hanya satu perkhidmatan Aerotrain susulan kerja penyelenggaraan rutin pada awal pagi.

​Isu berkenaan mula mendapat perhatian selepas seorang pengguna Threads, @fadlymatsaid, memuat naik beberapa gambar memaparkan ramai penumpang membanjiri kawasan balai ketibaan.

​Menerusi hantaran itu, dia meluahkan kurang senang dan mempersoalkan tindakan susulan serta pelan alternatif pengendali lapangan terbang sekiranya berlaku sebarang gangguan pada perkhidmatan Aerotrain.

​”Satu Aerotrain terganggu, satu Bangunan Satelit jadi lautan manusia. Inilah keadaan di KLIA pagi ini.

​”Berapa kali lagi penumpang kena hadap situasi macam ni?

“KLIA pintu masuk negara, bila tren bermasalah pelan alternatif mesti bergerak pantas. @MalaysiaAirports, apa sebenarnya berlaku pagi ini?” katanya.

​

Hantaran berkenaan mendapat maklum balas pantas daripada akaun rasmi KLIA, @klinternationalairport, yang menafikan berlaku sebarang gangguan teknikal pada perkhidmatan berkenaan.

​Pihak pengurusan menjelaskan, pengoperasian satu tren dari 12 tengah malam hingga 5 pagi adalah mengikut jadual yang diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan rutin (engineering hours).

​”Maklumat berhubung jadual dan waktu penyelenggaraan membabitkan tren itu sentiasa dipaparkan pada skrin maklumat di sekitar kawasan perkhidmatan Aerotrain.

​”Masa menunggu mungkin mengambil masa lebih lama berbanding biasa sekiranya berlaku peningkatan jumlah penumpang secara mendadak dalam julat masa berkenaan,” jelasnya.

​Justeru, pihak pengurusan menasihatkan penumpang yang menggunakan perkhidmatan KLIA pada waktu malam supaya merancang perjalanan mereka sewajarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top