Lindung 24 jam PERKESO manfaatkan 250,000 pekerja setahun

Lindung 24 jam PERKESO manfaatkan 250,000 pekerja setahun

hazwan.faisal@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kira-kira 250,000 pekerja setahun berpotensi mendapat perlindungan menerusi Lindung 24 Jam (Lindung 24) bagi kemalangan yang sebelum ini berada di luar skop perlindungan kemalangan pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Penganalisis CIMB Securities, Ei Leen Tan berkata, anggaran PERKESO itu bersamaan kira-kira 2.6 peratus daripada sekitar 9.7 juta pekerja di negara ini, sekali gus menunjukkan jurang perlindungan yang cuba ditangani menerusi peluasan skim berkenaan.

Beliau berkata, sekitar 38,000 tuntutan ditolak antara 2015 hingga 2025 kerana pekerja terbabit tidak memenuhi syarat kelayakan tradisional di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Jurang perlindungan itu turut ketara dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah apabila, berdasarkan maklumat PERKESO, hanya kira-kira 48 peratus rakyat Malaysia mempunyai perlindungan insurans selain insurans motor, manakala liputan dalam kalangan kumpulan B40 dianggarkan cuma empat peratus,” katanya dalam laporan penyelidikannya, hari ini.

Ei Leen berkata, pihaknya melihat Lindung 24 yang dilaksanakan PERKESO mulai 1 Jun lalu sebagai langkah meluaskan perlindungan asas Malaysia dan bukannya menggantikan insurans perubatan dan hayat swasta, walaupun pada akhirnya mungkin berlaku penyelarasan terhadap pertindihan antara perlindungan kemalangan diri (PA) dengan manfaat kemalangan yang disediakan oleh majikan.

Beliau berkata, berbeza dengan Skim Bencana Pekerjaan yang melindungi kemalangan berkaitan pekerjaan, Lindung 24 merangkumi kemalangan bukan pekerjaan termasuk ketika berada di rumah, hujung minggu, aktiviti sukan dan rekreasi serta perjalanan peribadi dalam Malaysia.

Katanya, perubahan corak pekerjaan termasuk bekerja dari rumah (WFH) dan aturan kerja fleksibel semakin mengaburkan sempadan antara risiko berkaitan pekerjaan dengan aktiviti peribadi.

“Setakat 9 September lalu, 8.5 juta pekerja atau 87.6 peratus tenaga kerja kekal menyertai Lindung 24 selepas tempoh memilih keluar daripada skim itu berakhir pada 31 Ogos.

“Daripada kira-kira 1.2 juta pekerja yang memilih keluar, 52 peratus berpendapatan kurang RM3,500 sebulan, manakala 48 peratus memperoleh RM3,500 dan ke atas,” katanya.

Lindung 24 diperkenalkan untuk memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja yang layak semasa tempoh penggajian, termasuk perlindungan bagi kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja yang tidak berkait langsung dengan penggajian ataupun pekerjaan.

Kebaikannya ialah perlindungan secara menyeluruh bagi kemalangan yang tidak berkait dengan pekerjaan,

tempoh masa perlindungan 24 jam sehari kepada pekerja dan pembiayaan kos rawatan perubatan oleh PERKESO.

Kadar caruman ditetapkan secara berfasa pada 0.75 peratus gaji bulanan bermula 1 Jun 2026 hingga 31 Mei 2028, meningkat kepada satu peratus mulai 1 Jun 2028 hingga 31 Mei 2031 dan 1.25 peratus mulai 1 Jun 2031, tertakluk kepada siling gaji RM6,000.

Ei Leen berkata, pihaknya melihat kesan Lindung 24 terhadap industri insurans swasta sebagai terkawal kerana skim itu menyediakan lapisan asas perlindungan sosial dan bukan bersaing secara langsung dengan insurans swasta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top