Moscow: Bilionair Rusia yang juga pengasas Telegram, Pavel Durov mendakwa memiliki lebih 100 anak kandung di seluruh dunia.
Durov,39, yang belum berkahwin membuat pendedahan mengejutkan itu dalam catatan di Telegram miliknya, baru-baru ini.
“Saya baru diberitahu, saya mempunyai lebih 100 anak kandung.
“Bagaimana mungkin untuk lelaki yang tidak pernah berkahwin dan lebih suka hidup bersendirian (ada anak ramai)?” tulisnya.
Durov kemudian menjelaskan, dia sebenarnya menjadi penderma sperma produktif yang membantu lebih 100 pasangan di 12 negara untuk memiliki anak.
“Saya mendaftar untuk menderma sperma, 15 tahun lalu, apabila rakan saya membuat permintaan pelik itu.
“Dia dan isterinya tidak boleh mempunyai anak kerana masalah kesuburan dan meminta saya menderma sperma di klinik untuk mereka melahirkan bayi.
“Saya ketawa sebelum menyedari dia serius,” katanya.
Katanya, klinik kesihatan memberitahu mengenai kekurangan sperma penderma berkualiti tinggi dan menjadi tugasnya untuk menderma sperma tanpa nama.
“Bunyinya agak gila sehingga membuatkan saya mendaftar untuk menderma sperma,” katanya.
Durov berkata, dia tidak lagi menjadi penderma tahun lalu, namun sperma bekunya masih boleh diakses untuk kegunaan tanpa nama daripada sekurang-kurangnya satu klinik rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).
Tidak jelas sama ada anak-anaknya mungkin menjadi pewaris kekayaannya.
Namun, jutawan itu berhasrat untuk membuka sumber asid deoksiribonukleik (DNA) miliknya supaya anak kandungnya lebih mudah mencari satu sama lain.
Durov, dikatakan berjaya mengumpul kekayaan 13.6 bilion pound sterling (kira-kira RM79.56 bilion) selepas mencipta aplikasi media sosial Rusia dipanggil VK, menjualnya dan kemudian mengasaskan Telegram.
Sehingga kini, bilionair teknologi itu diketahui mempunyai seorang anak perempuan dan anak lelaki dengan bekas pasangannya, Daria Bondarenko, yang berpangkalan di Barcelona.
Durov kini menetap di Emiriah Arab Bersatu dan masih memiliki Telegram, yang bernilai 23.5 pound sterling (kira-kira RM137 bilion).
Pada 2023, Telegram ialah platform paling popular di Rusia dengan sehingga 49 juta pengguna.
© New Straits Times Press (M) Bhd




