Austria bangkit dengan 10 pemain, tewaskan Tunisia

Austria bangkit dengan 10 pemain, tewaskan Tunisia

Vienna: Austria mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit biarpun kekurangan seorang pemainuntuk menewaskan Tunisia 1-0 dalam aksi persahabatan pemanas badan menjelang Piala Dunia di Stadium Ernst Happel, awal pagi tadi.

Marcel Sabitzer muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-63 menerusi rembatan deras hasil hantaran lintang, Stefan Posch dari sebelah kanan.

Kemenangan itu cukup bermakna buat Austria yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Konrad Laimer dilayangkan kad merah pada minit ke-37 kerana sengaja menggunakan tangan untuk menghalang peluang jaringan Tunisia.

Tunisia yang turut layak ke Piala Dunia hampir memanfaatkan kelebihan itu apabila tiga kali terkena palang dan tiang gol pada babak pertama menerusi percubaan Hannibal Mejbri, Firas Chaouat serta sepakan percuma Anis Ben Slimane.

Bagaimanapun, Austria menunjukkan ketahanan mental yang tinggi selepas rehat sebelum Sabitzer memecah kebuntuan.

Seminit selepas gol itu, Austria hampir menggandakan kelebihan apabila penjaga gol Tunisia, Abdelmouhib Chamakh, menepis percubaan pemain gantian, Marco Friedl yang kemudian terkena tiang gol, sebelum Posch pula menyaksikan rembatan susulannya singgah di palang.

Austria kini meneruskan persiapan menghadapi kempen Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat bulan ini.

Mereka akan memulakan saingan Kumpulan J menentang Jordan di San Francisco pada 16 Jun.

Tunisia pula dijadual berdepan Belgium dalam satu lagi aksi persahabatan di Brussels pada Sabtu ini, sebelum memulakan kempen Kumpulan F menentang Sweden di Monterrey, Mexico pada 14 Jun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top