mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia akan melakukan sedaya upaya dalam menyuarakan pandangan, menyokong perjuangan rakyat Palestin yang mahukan negara merdeka dan berdaulat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim..
“Saya juga mengharapkan jangan berhenti bicara mengenai Palestin serta menyalurkan bantuan, sedekah bagi meringankan beban mereka kerana saya mahu meletakkan Malaysia dalam peta sejarah yang bersungguh-sungguh memperjuangkan dan membantu Palestin.
“Insya-Allah kita akan melakukan sedaya upaya kita menyuarakan pandangan tidak kira di depan sesiapa pun. Kita akan bantu yang sakit sama ada dirawat di sana (Palestin) atau dibawa ke sini untuk diberi rawatan dan akan diteruskan tanpa tolak ansur,” katanya ketika menyampaikan pidato pada Himpunan Pembebasan Palestin selepas tayangan video Belasungkawa Asy-Syahid Ismail Haniyeh di Axiata Arena Bukit Jalil di sini, pada Ahad.
Menurutnya, perjuangan Palestin sudah sebati dengan Malaysia dan mempertahankan hak Hamas sebagai pejuang membebaskan Palestin.
“Lakaran sejarah tragedi penindasan, penghinaan selama hampir satu abad sejak pembentukan Israel sehingga peristiwa peristiwa nakba, di mana saya membesar sehingga ketika belajar di Universiti Malaya (UM), berlakunya perang Arab Israel.
“Kami mahasiswa pada masa itu pergi (turun) ke jalan raya pada 1973, menentang keganasan Israel dan kedutaan Amerika Syarikat kerana menyokong keganasan Israel,” katanya.
Anwar berkata, pada 1983, ketua pejuang Palestin, Yasser Arafat mengundang beliau ke Algiers, Algeria untuk menyaksikan persidangan bersama badan perjuangan pembebasan Palestin.
“Pada masa itu tidak banyak negara yang memperdulikan suara perjuangan hak Palestin yang sangat terbatas dan tidak dapat liputan malah diserang bertubi-tubi.
“Seterusnya tahun itu juga kita mengundang Yasser ke Stadium Merdeka berucap bersama Pemuda Umno pada ketika itu, maka perjuangan itu sudah sebati dengan perjuangan rakyat Malaysia, dan sebab itu kita tidak peduli dengan pandangan Barat atau negara lain yang mahu tetapkan siapa yang perlu Malaysia sokong,” katanya.
Beliau juga berterima kasih kepada Iran kerana membantu Palestin berjuang menentang pendudukan Israel.
Terdahulu, antara yang menyampaikan pidato pada himpunan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Lebih 12,000 orang menghadiri perhimpunan itu sebagai terjemahan sokongan terhadap rakyat Palestin dan mengecam kekecaman Israel termasuk dalam pembunuhan Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh pada Rabu lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




