Madrid: Pilihan utama Jannik Sinner meneruskan rentak cemerlang apabila meraih kemenangan ke-22 berturut-turut, sekali gus menempah tiket ke final Terbuka Madrid.
Dia menewaskan pemain Perancis, Arthur Fils 6-2, 6-4 dalam aksi separuh akhir untuk mara ke final kejohanan itu buat kali pertama.
Menanti Sinner di pentas final adalah pilihan kedua, Alexander Zverev yang turut mara selepas menundukkan wakil Belgium, Alexander Blockx 6-2, 7-5.
Sinner kini berpeluang mencipta sejarah sebagai pemain lelaki pertama memenangi lima kejohanan bertaraf Masters 1000 berturut-turut.
“Saya sangat gembira dengan prestasi hari ini. Saya cuba bermain pada tahap terbaik dan hari ini memang cukup baik,” kata Sinner selepas menang dalam tempoh 86 minit.
Sementara itu, Zverev yang juga dua kali juara Madrid, memburu gelaran ketiga bagi meletakkannya sebaris legenda seperti Rafael Nadal, Roger Federer dan Novak Djokovic yang masing-masing pernah menjulang sekurang-kurangnya tiga trofi di Madrid.
“Saya sangat gembira dapat ke final. Banyak perlawanan sukar, terutama di awal kejohanan. Saya menantikan aksi menentang Jannik sekali lagi, ia pasti perlawanan sengit,” kata Zverev.
Rekod jelas memihak kepada Sinner yang menewaskan Zverev dalam lapan pertemuan terakhir termasuk tiga kali pada separuh akhir musim ini di Indian Wells, Miami dan Monte Carlo.
© New Straits Times Press (M) Bhd




