am@hmetro.com.my
Georgetown: Walaupun pelbagai serbuan dan rampasan dilakukan pihak berkuasa, masih ada individu tidak bertauliah berani menjual ubat perangsang seks tidak berdaftar dan kosmetik tiada notifikasi.
Individu itu juga berani menjual secara terbuka menerusi platform e-dagang dan secara dalam talian, termasuk menggunakan akaun palsu.
Susulan itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang melakukan serbuan ke atas 17 premis di Pulau Pinang, 30 Julai lalu, menerusi Op Legacy 2.0.
Operasi dijalankan secara bersepadu diketuai Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) dengan kerjasama Bahagian Perkhidmatan Farmasi Pulau Pinang dan polis.
Pengarah JKN Pulau Pinang, Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin berkata, sebanyak 463 jenis produk, tujuh peranti digital dan komputer dianggarkan RM3.9 juta berjaya dirampas.
“Ubat perangsang ini dijual pada harga RM100 hingga RM200 dan jika diambil berlarutan boleh menyebabkan tekanan darah rendah, pening dan pitam manakala jika tanpa kawalan, hati serta buah pinggang boleh rosak selain alami gangguan mental.
“Ubat seperti ini tidak boleh diiklankan di mana-mana media penyiaran kerana dilarang secara mutlak mengikut Seksyen 3 Akta Ubat (Iklan&Penjualan) 1956 dan hanya boleh dibekalkan pengamal perubatan berdaftar atau ahli farmasi dengan preskripsi yang sah.
“Penjualannya menjadi kesalahan mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) akta sama iaitu denda tidak lebih RM5,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Mohd Zawawi Abdullah berkata, kesemua produk itu dirampas di kilang, gudang, kediaman dan pejabat yang dijadikan tempat proses dan simpanan.
Katanya, sembilan individu berusia 20 hingga 30 tahun termasuk pemilik premis dan pekerja yang tiada kelayakan ditahan sementara bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kegiatan penjualan itu dipercayai sudah berlarutan dua tahun sebelum berjaya dikesan menerusi intipan dilakukan.
“Pihaknya gat menjalankan saringan terhadap iklan tidak sah, dengan 15,000 saringan sudah dibuat sepanjang tahun ini termasuk dikenakan sekatan dan menurunkan iklan daripada media sosial dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Zawawi berkata, operasi sama turut dilakukan di Kedah dan Johor dengan rampasan 64 jenis produk yang bernilai lebih RM500,000.
© New Straits Times Press (M) Bhd




