Keseronokan ibarat 'emas' buat atlet papan selaju berusia 51 tahun

Keseronokan ibarat 'emas' buat atlet papan selaju berusia 51 tahun

Paris: Atlet papan selaju Great Britain, Andy Macdonald berkata, pingat emas baginya ialah ‘keseronokan’ ketika beraksi dalam sukan itu sebanyak mungkin selepas membuat penampilan di Sukan Olimpik Paris 2024 pada usia 51 tahun.

Bersaing dengan pemain papan selaju yang lebih muda separuh umurnya, Macdonald yang dilahirkan di Amerika Syarikat menamatkan aksi di tempat ke-18 daripada 22 dalam pusingan awal park lelaki tetapi berkata ia adalah ‘pengalaman seumur hidup’.

“Saya tidak melihat jumlah mata yang dipungut sepanjang masa,” kata Macdonald, seorang legenda papan selaju yang layak mewakili Britain selepas bapanya lahir di Luton.

“Saya terpaksa bertanya semasa sidang media, di kedudukan mana saya berada? Saya tidak datang untuk mengumpul mata.”

Beraksi dalam pusingan keempat dan terakhir, Macdonald muncul dengan memakai helmet kuning terang dan tidak membuang masa untuk memeriahkan suasana penonton.

Dia terjatuh ketika terbang keluar dari bowl untuk cubaan pertamanya tetapi mendarat dengan backflip yang sempurna di akhir percubaan keduanya yang membuatkan penonton teruja.

Macdonald berkata gerakan luar biasa itu adalah ‘bukan untuk meraih mata’, tetapi untuk keseronokan.

“Saya buat gerakan itu untuk penonton. Saya cuba menunjukkan bahawa ini adalah keseronokan tidak kira berapa usia anda – sesuatu yang paling santai, paling menyeronokkan, dan paling inklusif yang boleh anda lakukan.”

Macdonald beraksi secara profesional selama beberapa dekad dan bahkan mempunyai permainan video sendiri yang dilancarkan pada tahun 2000.

Dia memenangi pelbagai pertandingan tetapi papan selaju hanya dimasukkan dalam Olimpik pada Tokyo 2020.

Keefer Wilson dari Australia, yang layak ke final di tempat kelima, berkata, Macdonald adalah ‘legenda baginya’.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top