Siyi belum 'berkarat' walaupun cuti selama dua tahun

Siyi belum 'berkarat' walaupun cuti selama dua tahun

Paris: Xie Siyi dari China berjaya mempertahankan pingat emasnya dalam acara terjun tiga meter papan anjal di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas mengambil cuti selama dua tahun dari sukan itu sejak muncul juara di Tokyo.

Rakan sepasukannya, Wang Zongyuan, meraih pingat perak manakala Osmar Olvera dari Mexico memperoleh gangsa.

Siyi, yang berusia 28 tahun, menamatkan saingan dengan 543.60 mata selepas melakukan enam terjunan hampir sempurna dalam acara terjun paling kompetitif di Paris 2024 setakat ini, sekali gus meneruskan usaha China untuk menyapu bersih semua emas tatkala ia berbaki dua lagi acara.

“Saya berasa sangat teruja,” kata Siyi kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat.

“Saya berehat hampir dua tahun sejak Tokyo dan hanya kembali tahun lalu. Ia sangat mencabar bagi saya.”

Zongyuan, berusia 22 tahun, yang memenangi acara ini dalam semua pertandingan global utama dalam beberapa tahun terakhir ketika Siyi bercuti, kehilangan mata pada terjunan kelima yang kurang memuaskan, tetapi memperoleh mata tertinggi dalam cubaan terakhir dengan 102.60 mata untuk menduduki tempat kedua.

“Memang saya membuat kesilapan. Ia lebih kepada masalah saya sendiri bukan tekanan dari pesaing,” kata Zongyuan, yang memperoleh 530.20 mata, selepas juga mengulangi pencapaian sama di Tokyo 2020.

“Saya terlalu memikirkan tentang bagaimana untuk melakukan yang terbaik sehingga saya menjadi tertekan pada terjunan kelima,” kata Zongyuan.

“Apabila saya mengetahui jurang (antara saya dan Siyi) sebelum terjunan terakhir, fikiran saya benar-benar tenang. Saya tidak pernah merasa begitu tenang.”

“Sudah tentu ia adalah satu kerugian tetapi inilah daya tarikan sukan kompetitif. Kadang-kadang anda menang, kadang-kadang anda kalah. Saya hanya perlu bekerja lebih keras untuk menjadi lebih baik dalam empat tahun akan datang,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top