am@hmetro.com.my
Tanah Merah: Keluarga lelaki yang ditembak di muka oleh sekumpulan penjenayah disyaki penyeludup lembu di Kemahang 1, dekat sini, awal pagi tadi masih terkejut dengan insiden itu.
Abdul Kadir Mohamad, 73, berkata, dia berada di rumah bersama isteri, Siti Zabedah Besar, 64, dan anak mereka, Amirul Akil, apabila menerima berita mengenai serangan yang membabitkan anak sulung, Mohamad Khairi Amri, 42.
Bekas peneroka Felda itu berkata, seorang rakan menelefon sekitar jam 7 pagi memaklumkan Khairi ditembak dan sedang dirawat di Hospital Tanah Merah.
“Seorang kawan telefon dan beritahu kami supaya ke sana… dia kata anak saya kena tembak dan ada di hospital. Kami terkejut.
“Saya belum melihatnya lagi, tetapi saya diberitahu dia terkena tembakan di bahagian pipi dan dagu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kemahang 1 di sini.
Bapa kepada 13 anak itu berkata, Khairi bekerja sebagai penjaga lembu penduduk kampung sejak tujuh hingga lapan tahun lalu.
Menurutnya, anaknya itu menjaga kira-kira 20 ekor lembu.
Abdul Kadir berkata, anaknya itu biasanya menjaga ternakan di sebuah kandang di Lalang Pepuyu, kira-kira 10 kilometer dari rumah mereka.
“Dia sudah bertahun-tahun menjaga lembu penduduk kampung. Itu rutinnya,” katanya.
Amirul Akil pula berkata, kira-kira 40 penduduk kampung bergegas membantu abangnya selepas mendengar kekecohan itu.
“Penduduk kampung memberitahu mereka melihat lima atau enam lelaki tiba dengan motosikal dan cuba mencuri lembu.
“Kumpulan yang dipercayai dari negara jiran itu bagaimanapun dapat meloloskan diri,” katanya.
Amirul Akil berkata, abangnya kini sedang menerima rawatan di Hospital Tanah Merah dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
© New Straits Times Press (M) Bhd




