am@hmetro.com.my
Johor Bahru: United Overseas Bank (UOB) terus memperkukuh momentum pelaburan ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) apabila berjaya memudahkan aliran pelaburan langsung asing (FDI) melebihi RM18 bilion sejak 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, kejayaan itu hasil kerjasama strategik bank berkenaan bersama Invest Johor melalui inisiatif Green Lane.
Katanya, bank berkenaan memberi tumpuan kepada langkah praktikal bagi menukar minat pelabur kepada pelaburan sebenar, khususnya dalam memanfaatkan hubungan Johor dan Singapura sebagai hab ekonomi serantau.
“Dari awal lagi, UOB memberi tumpuan pada langkah-langkah praktikal yang membantu mengubah minat kepada tindakan sebenar.
“Dalam menggabungkan keutamaan pembangunan Johor dengan peranan Singapura sebagai hab perniagaan global, syarikat di kedua-dua belah Tambak Johor dapat melaksanakan peluang rentas sempadan dengan berkesan.
“Melalui kerjasama dengan Invest Johor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Iskandar dan pihak berkepentingan lain, kami dapat memudahkan pelaburan bernilai tinggi secara berterusan dari pelbagai negara ke dalam JS-SEZ, justeru mengukuhkan ketersambungan rantaian bekalan sambil menyampaikan manfaat ekonomi untuk Malaysia dan Singapura,” katanya sempena Forum Strategik UOB-Invest Johor JS-SEZ 2026 di sini, hari ini.
Wei Wei berkata, antara pelabur utama yang menyatakan komitmen termasuk GSP Automotive Malaysia, Paragon Globe dan JT Automation Technology yang menyerahkan Surat Hasrat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Natazha Hariss bagi memperluas operasi mereka dalam JS-SEZ.
Penyerahan surat berkenaan disaksikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han dan Wei Wei.
Sempena forum sama, bank berkenaan turut mengumumkan dua komitmen pelaburan baharu bernilai lebih RM1 bilion yang akan difasilitasi menerusi Green Lane UOB dan Invest Johor.
Sementara itu, Onn Hafiz Ghazi berkata, kerjasama antara sektor awam dan swasta berjaya menarik pelaburan berkualiti tinggi serta membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat negeri ini.
“Kerjasama mantap di antara InvestJohor dan UOB menunjukkan bagaimana kerjasama awam-swasta yang sejajar dapat membawa hasil yang nyata, menarik pelaburan berkualiti tinggi, mewujudkan pekerjaan mahir dan memberi impak yang bermakna.
“Kami menghargai sokongan berterusan UOB dalam memajukan strategi yang jelas, pelaksanaan yang konsisten dan pendekatan yang berfokuskan pelabur oleh kerajaan negeri Johor dalam meletakkan JS-SEZ sebagai destinasi pelaburan terkemuka dan berdaya saing.
“Keutamaan kami adalah jelas. Setiap pelaburan yang diperoleh mesti menyampaikan hasil yang nyata, termasuk peluang pekerjaan lebih baik, industri tempatan lebih kukuh dan nilai berkekalan untuk setiap rakyat Johor,” katanya.
Forum berkenaan dianjur dengan sokongan bersama EcoWorld, KnightFrank Malaysia, Liberty General Insurance Berhad dan RDS Partnership.
Forum dihadiri lebih 400 peserta serta menarik bakal pelabur dari luar negara, syarikat multinasional, perusahaan kecil dan sederhana serta wakil daripada dewan perniagaan dan persatuan perdagangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




