Kuala Lumpur: Skuad ragbi 15 sebelah (15s) negara akan berdepan Sri Lanka dalam satu perlawanan cabaran pada Januari tahun depan.
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perlawanan tersebut akan menentukan nasib sama ada skuad Bunga Raya 15s akan kekal di Divisyen Premier Kejohanan Ragbi Asia (ARC) musim depan atau sebaliknya.
“Perlawanan tersebut bakal berlangsung pada Januari 2025 dan venue bagi perlawanan tersebut akan diputuskan semasa mesyuarat bersama Ragbi Asia pada September nanti,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu KRM menyatakan Malaysia berpeluang merebut slot ke Piala Dunia Ragbi 2027 sekiranya dapat kekal beraksi di Divisyen Premier ARC musim depan.
Terdahulu skuad Bunga Raya menamatkan kempen Divisyen Premier ARC 2024 pada kedudukan tercorot selepas gagal mengutip sebarang mata, apabila tumpas ketiga-tiga perlawanan menentang Korea Selatan, Hong Kong dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
© New Straits Times Press (M) Bhd




