Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-102 lebih sengit

Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-102 lebih sengit

sukan@hmetro.com.my

Melaka: Juara bertahan Pahang berada dalam Kumpulan D pada saingan Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-102 yang bakal berlangsung di bandaraya Melaka pada 18 hingga 27 Oktober depan.

Pada majlis undian pasukan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput hari ini menyaksikan skuad Tok Gajah yang menjadi pasukan pilihan mengetuai kumpulan berkenaan yang bakal ditentang hebat Bomba, Kelantan dan Pulau Pinang.

Melaka selaku tuan rumah pula berada dalam Kumpulan A bersama Kuala Lumpur, Perak dan Perlis sementara Kumpulan B disertai Selangor, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan , diikuti Kumpulan C pula diwakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Akademi Mokhtar Dahari (AMD), PDRM dan SPRM.

Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Melaka (Baru) Datuk Mohd Ridhwan Tun Mohd Ali berkata, saingan edisi kali ini dijangka sengit dan menarik menerusi persiapan rapi semua 16 pasukan bertanding.

Katanya, aksi pembukaan membabitkan Piala Agong antara pasukan Pahang dan Selangor pada 18 Oktober di Stadium Hang Tuah bakal dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam serta majlis makan malam pada keesokannya yang turut dihadiri Tun Mohd Ali dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Bagi venue Kumpulan A membabitkan Stadium Hang Tuah dan Padang SMK Tun Tuah manakala Kumpulan B di Stadium Tun Fatimah dan Henry Gurney selain Dragor Bukit Katil dan Wisma MAFA (Kumpulan C).

“Saingan Kumpulan D pula di Komplek Rakan Muda Lendu dan UiTM Alor Gajah sementara sesi latihan di Wisma MAFA. Penganjur juga menyediakan venue simpanan di Universiti Multimedia (MMU) dan UiTM Jasin,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top