Cukup 'hentam' Azizul – Rizal Tisin

Cukup 'hentam' Azizul – Rizal Tisin

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Jangan lupa tujuannya ke sana untuk berperang, siapa yang berperang nak kalah? Apa yang terjadi bukanlah kemahuannya.”

Demikian peringatan bekas pelumba berbasikal trek negara, Mohd Rizal Tisin kepada semua pihak yang pantas menghukum jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang yang dibatalkan penyertaan pada pusingan pertama acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024 malam tadi akibat kesalahan mendahului pacer pada perlumbaan di Velodrom Saint Quentin.

Jelas Rizal yang pernah beraksi dalam acara pecut berpasukan di Olimpik Beijing 2008, Azizulhasni dan ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley sudah pun mengakui kesalahan dilakukan, malah The Pocket Rocketman sendiri pastinya tidak mahu insiden itu berlaku kepadanya.

“Ia bukan kesalahan yang disengajakan. Siapa yang nak sengaja batalkan penyertaan sendiri, tetapi memang sudah ditakdirkan macam itu.

“Memang berlaku kesilapan yang tak sepatutnya dilakukan ketika Olimpik dan ketika kita semua mendambakan (pingat) emas, tapi janganlah kita lupakan pengorbanannya selama ini.

“Dia (Azizulhasni) cuba sehabis baik penuhi impian untuk memenangi emas, jadi kita semua janganlah seperti kacang lupakan kulit.

“Siapa yang tak sedih apabila perkara ini berlaku kepada mereka. Walaupun dia atlet elit, dia pun ada perasaan seperti manusia biasa. Apa yang atlet buat tetap ada salah dan silap, cuma jangan terlalu menghukum mereka.

“Memang dia berjuang untuk negara guna duit rakyat, tetapi dia sendiri pun tak nak jadi macam itu, dia sendiri nak dapatkan pingat emas,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Rizal yang pernah melatih skuad kebangsaan Singapura selama empat tahun dan setahun bersama Indonesia, beliau tidak fikir faktor tekanan menyebabkan pelumba berusia 36 tahun itu bertindak sedemikian sehingga menyebabkan penyertaannya dibatalkan.

“Bagi saya untuk tahap sepertinya, tekanan itu tetap ada, malah kadangkala dia boleh menjadikan tekanan itu sebagai sesuatu yang positif. Cuma mungkin semasa berlangsungnya perlumbaan banyak faktor yang menyebabkan berlaku perkara itu,” katanya yang pernah meraih gangsa di Kejohanan Dunia di Pruszkow, Poland pada 2009.

Pada aksi malam tadi, Azizulhasni yang memulakan saingan di kedudukan keenam, cuba membuat gerakan awal dengan memotong pelumba lain sebelum pacer keluar daripada trek.

Begitupun, Azizulhasni dikesan turut melepasi pacer sebelum dia disingkirkan daripada saingan sekali gus impiannya untuk memenangi pingat emas pertama negara pada penampilan terakhirnya di Olimpik berkecai.

Untuk rekod, Azizulhasni yang membuat penampilan pertama di Beijing 2008, meraih pingat gangsa menerusi acara keirin pada edisi 2016 di Rio sebelum menukar warna kepada perak ketika Tokyo 2020.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top