Vancouver: Pengendali Norway, Stale Solbakken mengakui sukar untuk tidur selepas kemenangan dramatik 2-1 ke atas Brazil dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia ambil mendedahkan satu pemberian istimewa daripada lawannya, Carlo Ancelotti menamatkan salah faham berkaitan satu klip video.
Sebelum perlawanan, ramai penyokong Brazil berasa terprovokasi oleh satu klip yang memaparkan Solbakken berkata “Carlo Ancelotti, kami datang untuk kamu!” selepas kemenangan Norway ke atas Ivory Coast dalam pusingan 32.
Namun jurulatih berusia 58 tahun itu menjelaskan ia diambil di luar konteks dan nampaknya tiada sebarang ketegangan daripada pihak Ancelotti.
“Saya boleh katakan beliau (Ancelotti) menunjukkan karismanya yang besar selepas perlawanan. Dia menghantar wakil bersama baju Brazil beserta nama saya di belakang dan satu ucapan. Jadi ia sangat bermakna,” kata Solbakken kepada media pada Isnin.
Penyerang, Erling Haaland menjaringkan dua gol untuk membawa Norway mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama di mana mereka akan menentang England di Miami, awal pagi Ahad ini.
Solbakken memberi rehat kepada kakitangan kejurulatihan untuk meraikan kejayaan terbabit namun beliau sendiri sukar melelapkan mata.
“Saya benarkan staf sokongan meraikan sendiri. Saya terlalu letih, jadi saya tidur dan menonton semula perlawanan.
“Kemudian saya melayari telefon dan membalas beberapa mesej. Saya tidur sekejap sahaja tetapi pagi itu tetap baik,” katanya.
Beliau berkata, tidak memberikan kebebasan sepenuhnya kepada pemain untuk meraikan kemenangan namun percaya mereka mampu mengawal keadaan dengan baik.
“Mereka tentukan sendiri perkara ini, ia kebebasan dengan tanggungjawab. Ia sentiasa begitu, semua pemain menguruskannya dengan baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




