Ais, batu, syabu, sejuk paling ramai ketagih

Ais, batu, syabu, sejuk paling ramai ketagih

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Methamphetamine terus menjadi antara dadah pilihan utama di Asia Timur dan Asia Tenggara termasuk Malaysia menyebabkan bahan terlarang itu terus cuba diseludup ke negara ini untuk dijual di pasaran gelap.

Sindiket pengedaran dadah juga dikesan menjadikan Malaysia sebagai negara transit bagi penyeludupan dadah ke negara-negara jiran.

Methamphetamine atau dipanggil ‘ais’, syabu, ‘sejuk’, ‘batu’ oleh pengedar dadah dan penagih masih menjadi antara dadah yang mendapat permintaan tertinggi.

Dadah jenis itu juga menjadi antara dadah yang tertinggi dirampas pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Mereka yang ketagih kepada dadah itu akan mengalami kesan serta-merta seperti khayal, tidak mengantuk, tidak lapar ataupun letih tetapi lama-kelamaan menyebabkan kebergantungan berpanjangan sehingga mengganggu fungsi sosial di dalam masyarakat.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, berdasarkan kepada rekod JKDM pada 2023, sebanyak 442 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM372.14 juta membabitkan 9,954.73 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis berjaya dirampas.

Menurutnya, sebanyak 166 kes pula berjaya direkodkan setakat Mei tahun ini dengan nilai rampasan sebanyak RM57.86 juta.

“Berdasarkan data rampasan dan tangkapan Bahagian Penguatkuasaan JKDM, berat dan nilai dadah jenis methamphetamine yang berjaya dirampas pada tahun 2023 adalah seberat 670.15kg dengan nilai RM23,882,719.55.

“Pada 2024 pula, sehingga 31 Julai lalu adalah seberat 1,850.70kg dengan nilai sebanyak RM62,304,003.00,” katanya secara eksklusif kepada Harian Metro.

Menurut Anis, jumlah keseluruhan rampasan dan tangkapan dadah jenis methamphetamine bagi 2023 dan 2024 (sehingga 31 Julai) adalah sebanyak 176 kes seberat 7,585.98kg dengan nilai RM118,828,228.23.

“Antara modus operandi yang sering digunakan sindiket dadah adalah membuat pengikraran komoditi tidak betul dan menggunakan maklumat pengeksport palsu,” katanya.

Anis berkata, sindiket itu juga akan menggunakan perkhidmatan penghantaran kurier bagi tujuan pengedaran dadah tanpa meletakkan nama dan alamat penuh pengirim.

“Mereka (sindiket) juga akan menyeludup dadah secara sembunyi menggunakan kontena sejuk beku untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Modus operandi yang sering digunakan oleh penjenayah penyeludupan ini akan sering bertukar bagi mengelirukan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, taktik yang digunakan masih tetap dapat dihidu oleh pegawai JKDM bagi mengekang aktiviti penyeludupan ini.

“JKDM sentiasa berusaha untuk mengekang jenayah penyeludupan daripada terus berleluasa.

“Selain itu, beberapa pelan tindakan dan perancangan JKDM sudah dijalankan bagi memperkasakan jabatan dari aspek pentadbiran dan penguatkuasaan antaranya melalui penerapan nilai Cekap, Tangkas dan Integriti (CTI) kepada seluruh warga JKDM bagi meningkatkan efisiensi dan kecekapan proses pentadbiran serta memperkukuhkan nilai integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam perkhidmatan.

“Tambahan, JKDM sering bekerjasama dalam menyalurkan perkongsian maklumat perisikan dan operasi antarabangsa, sebagai contoh perkongsian maklumat bersama Polis Antarabangsa (Interpol), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNOCD), Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) dan sebagainya bagi menjaga pintu keluar masuk negara,” katanya.

Menurutnya, arahan mengimbas 100 peratus kargo dilaksanakan bermula di Pelabuhan Klang sebagai solusi bagi isu rampasan dadah seberat 622 kilogram oleh pihak berkuasa Australia pada 12 Oktober 2023 yang melalui kargo laut dari Malaysia.

“Langkah penting lain yang turut dilaksanakan ialah dengan menggantikan mesin pengimbas lama yang sudah rosak dan tidak lagi sesuai digunakan dengan 66 mesin pengimbas kargo dan penumpang yang moden, berkeupayaan tinggi serta dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI).

“Mesin pengimbas yang dilengkapi teknologi AI yang digunakan oleh JKDM ini berupaya mengenal pasti barangan yang diimbas dalam masa 20 hingga 30 saat dengan ketepatan 100 peratus,” katanya.

Menurutnya, sebanyak tujuh unit mesin pengimbas di pintu keluar lapangan terbang antarabangsa utama, iaitu lima unit di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 10 Januari lalu.

Katanya, dua lagi ditempatkan di Terminal 2 KLIA sejak 2 Februari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top