Mardi perkenal dua varieti padi wangi

Mardi perkenal dua varieti padi wangi

am@hmetro.com.my

Pasir Salak: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) memperkenalkan dua varieti padi spesialiti baharu berkualiti tinggi untuk meningkatkan hasil dan pendapatan pesawah di negara ini.

Pengerusinya Dr Azman Ismail berkata, varieti padi wangi tempatan MRQ 107 dan MRQ 111 mampu menjana hasil tuaian melebihi lima metrik tan per hektar dengan pengurusan yang baik.

Menurutnya, hasil penyelidikan sejak 2010, kedua-dua varieti ini mempunyai tahap kerintangan yang baik terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai, selain sesuai untuk dijadikan beras rebus (parboiled rice) di mana ia sangat diperlukan oleh pengguna yang mementingkan nilai pemakanan sihat.

“MRQ 107 boleh dituai dalam tempoh 112 hingga 115 hari selepas tabur, manakala MRQ 111 dapat dituai dalam tempoh 116 hingga 118 hari selepas tabur.

“Kedua-duanya mempunyai ciri istimewa seperti aroma wangi dan tekstur nasi yang lembut.

“Dengan pelancaran varieti padi wangi baharu ini, ia diharapkan dapat memberikan manfaat terutamanya kepada pesawah dan pengguna beras spesialiti tempatan di samping menarik minat lebih ramai pihak untuk melibatkan diri dalam pasaran beras spesialti memperkukuhkan industri padi dan beras negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengisytiharan varieti padi di Pusat Benih Felcra Seberang Perak, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Turut hadir, Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Mohamed Ismi Abdul Majid dan Ketua Pertanian Bersepadu FGV Holding Berhad, Abdul Razak Aya.

Mengulas lanjut, Azman berkata, Mardi mengalu-alukan kerjasama berterusan daripada Felcra dan pemain industri lain agar dapat mengambil peluang dalam usaha pengkomersialan varieti padi MRQ 107 dan MRQ 111, sekali gus memperluaskan penanamannya di negara ini.

Sementara itu, Rubiah berkata, sebelum ini Felcra Seberang Perak ditugaskan oleh Mardi untuk mengeluarkan benih kedua-dua varieti itu dan hasilnya boleh dituai bermula hari ini membabitkan sawah berkeluasan 2.4 hektar.

“Selepas ini, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus dari keluasan 3,400 hektar sawah di Felcra Seberang Perak akan ditanam dengan dua varieti padi baharu ini, di samping FGV turut menyatakan komitmen untuk memulakan penanaman MRQ 111 secara komersial.

“Dengan adanya dua varieti ini, kita dapat mempelbagaikan sumber beras dan mengurangkan kos beras wangi import,” katanya.

Katanya, jumlah keperluan beras bagi 32 juta penduduk Malaysia dianggarkan sekitar 2.5 juta metrik tan setahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top