Manchester: Manchester United berdepan tamparan menjelang aksi penting menentang Chelsea apabila terpaksa turun tanpa dua tonggak pertahanan, Lisandro Martinez dan Harry Maguire yang digantung.
Pengurus, Michael Carrick mengakui ketiadaan kedua-dua pemain itu satu kehilangan besar, namun menegaskan pasukan perlu terus bergerak ke hadapan.
“Kami kecewa dengan keputusan ini, tetapi kami perlu terima dan teruskan,” katanya.
Martinez dikenakan penggantungan tiga perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika tewas 1-2 kepada Leeds United, manakala Maguire pula digantung satu perlawanan susulan insiden dalam aksi menentang Bournemouth sebelum ini.
Bagaimanapun, United mungkin menerima sedikit kelegaan apabila pemain tengah muda Kobbie Mainoo berpeluang kembali selepas pulih daripada kecederaan.
Dalam masa sama, Carrick tetap optimis dengan semangat juang dipamerkan anak buahnya, terutama ketika bangkit bermain dengan 10 pemain menentang Leeds.
“Kami tak dapat keputusan yang diinginkan, tetapi karakter yang ditunjukkan sangat positif. Itu yang perlu kami bawa ke perlawanan ini,” katanya.
United yang kini berada di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris turut berdepan cabaran sukar di Stamford Bridge, gelanggang yang menyaksikan mereka kali terakhir menang pada Februari 2020.
Chelsea pula tidak berada pada prestasi terbaik selepas tewas lima daripada enam perlawanan terakhir, namun Carrick tetap menjangkakan aksi sengit.
“Ia tempat yang sukar. Sentiasa begitu. Kami jangka perlawanan yang betul-betul mencabar dan kami sudah bersedia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




