Nama Honda Insight pernah menjadi simbol kepada cetusan teknologi hibrid awal Honda, malah ia merupakan antara model terawal yang memperkenalkan elektrifikasi kepada pengguna arus perdana sejak akhir 1990-an.
Namun untuk generasi terbaharu ini, Honda mengambil langkah yang jauh lebih berani. Honda Insight tidak lagi hadir sebagai sedan hibrid, sebaliknya dilahirkan semula sebagai sebuah kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) dalam bentuk crossover moden.
Perubahan ini bukan sekadar evolusi, tetapi satu revolusi identiti dengan perubahan daripada sebuah sedan kompak yang menekankan kecekapan bahan api, Insight kini tampil dengan reka bentuk lebih tinggi, lebih agresif dan lebih futuristik, sejajar dengan trend global yang semakin memihak kepada SUV dan crossover.
Rekaan luarannya menggabungkan elemen liftback dengan garis badan yang tajam, memberikan imej lebih premium berbanding generasi terdahulu. Apa yang menarik ialah model ini sebenarnya bukan dibangunkan sepenuhnya dari kosong oleh Honda Jepun.
Ia berkongsi asas dengan model EV yang dihasilkan di China melalui kerjasama dengan Dongfeng, dikenali sebagai Honda e:NS2 yang dijelmakan menjadikan Insight baharu sebagai sebahagian daripada strategi global Honda untuk mempercepatkan pembangunan EV dengan memanfaatkan platform sedia ada.
Dari sudut prestasi, Insight EV ini dilihat cukup kompetitif untuk kelasnya dengan menggunakan motor elektrik pacuan roda hadapan dengan kuasa sekitar 200 hp dan tork kira-kira 310 Nm. Tenaga disalurkan daripada bateri berkapasiti sekitar 68.8 kWh, yang membolehkannya mencapai jarak pemanduan sehingga kira-kira 535 km mengikut standard WLTC.
Pengecasan pantas juga ditawarkan, dengan anggaran masa sekitar 40 minit untuk mencapai tahap 80 peratus. Untuk ruang dalaman perubahan yang dilakukan Honda lebih jelas dengan rekaan dalaman kini berteraskan pengalaman digital sepenuhnya dengan skrin infotainment bersaiz besar 12.8 inci, dipadankan dengan paparan meter digital serta head-up display.
Selain itu, elemen seperti sistem audio premium, pencahayaan ambient dan ciri keselesaan tambahan menjadikan kabin Insight jauh lebih mewah berbanding imej asalnya sebagai kereta ekonomi. Buat masa ini Honda Insight EV ini hanya ditawarkan di Jepun, sebuah pasaran yang masih perlahan dalam penerimaan kenderaan elektrik.
Kadar penggunaan EV di negara tersebut masih rendah berbanding pasaran seperti China atau Eropah, dan kebanyakan pengguna Jepun lebih cenderung kepada hybrid atau kereta kecil. Menyedari cabaran ini, Honda tidak meletakkan sasaran jualan tinggi.
Sebaliknya, model ini dihadkan kepada sekitar 3,000 unit sahaja, menjadikannya lebih kepada model percubaan untuk menilai penerimaan pengguna terhadap arah baharu ini. Harga yang ditetapkan juga mencerminkan kedudukan lebih premium, sekali gus menjauhkan lagi ia daripada imej Insight yang dahulu dikenali sebagai pilihan mampu milik.




