am@hmetro.com.my
Kuala Kangsar: Dua beranak maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Kuala Kangsar-Manong, di sini, hari ini.
Difahamkan, nahas berlaku ketika mereka dalam perjalanan ke sekolah mengakibatkan ibu berusia 40-an dan anak perempuannya berusia 12 tahun maut, manakala seorang lagi anak perempuan mangsa berusia 10 tahun cedera ringan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.36 pagi.
Menurutnya, kemalangan membabitkan kereta jenis Honda City dinaiki tiga beranak bertembung dengan sebuah MPV jenis Toyota Vellfire.
“Seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan masing-masing tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang bahagian hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
“Seorang lagi kanak-kanak perempuan yang duduk di bahagian tempat duduk belakang Honda City mengalami cedera ringan.
“Mayat dua mangsa maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera diserahkan kepada KKM untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemandu Toyota Vellfire tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi ditamatkan jam 9.10 pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd



