SUV rempuh pintu masuk balai pelepasan KKIA, pemandu wanita cedera

SUV rempuh pintu masuk balai pelepasan KKIA, pemandu wanita cedera

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Seorang pemandu wanita cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pintu masuk balai pelepasan di Aras 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, petang ini.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, cermin di pintu masuk balai pelepasan berkecai akibat rempuhan berkenaan, manakala serpihan kaca bertaburan di kawasan laluan penumpang sehingga mencetuskan panik dalam kalangan orang awam yang berada di lokasi.

Difahamkan, pemandu dipercayai tertekan pedal minyak sebelum kenderaannya merempuh masuk ke pintu masuk balai pelepasan.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak membabitkan mana-mana pengunjung atau pekerja lapangan terbang.

Pemandu wanita terbabit mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Beberapa video yang tular di media sosial turut memaparkan sebuah SUV berwarna putih mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan selepas merempuh struktur di pintu masuk terminal, selain serpihan kaca bertaburan di kawasan kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top