'Kami sudah terima, ini hari terakhir Afham'

'Kami sudah terima, ini hari terakhir Afham'

am@hmetro.com.my

Kuala Selangor: “Kami sebenarnya sudah terima (pemergian Nidza Afham). Hari ini adalah hari terakhirnya di atas (dunia) dan kami mahu hantarnya kembali ke bawah bumi (tanah).”

Luahan abang sulung Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar, Mohd Nidza Irfan, 33, ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cherakah, di sini, hari ini.

Nidza Irfan berkata, dia tidak menahan sebak apabila mengimbas kembali detik bersama Allahyarham yang dianggap sukar untuk dilupakan.

“Apabila saya minta tolong, arwah pasti ada. Jauh macam mana sekali pun, dia akan datang. Malah, perkara sama juga dilakukan kepada adik-beradik lain.

“Arwah suka menawarkan diri untuk membantu keluarga. Ramai sedia maklum akan peribadinya hingga membuatkan semua orang selesa dengannya,” katanya.

Nidza Irfan berkata, dia reda dengan ketentuan Allah SWT namun bersyukur kerana Allahyarham meninggalkan memori yang indah.

Pada masa sama, dia turut berterima kasih kepada semua dan terharu apabila banyak pihak membantu dari awal sehingga selesai majlis pengebumian.

“Macam mana ujian sekali pun, ia dipermudahkan dan selesai semuanya,” katanya.

Terdahulu, jenazah Nidza Afham, 23, selamat dikebumikan pada 6.40 petang selepas dibawa ke Masjid Puncak Alam untuk disembahyangkan.

Polis sebelum itu mengklasifikasikan kematian penyanyi berkenaan sebagai mati mengejut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top