London: Legenda England, Paul Gascoigne berharap skuad kebangsaan negara itu mampu mengulangi semangat berpasukan luar biasa yang dipamerkan ketika kempen Piala Dunia 1990 dalam usaha menamatkan kemarau kejuaraan dunia yang berlarutan selama enam dekad.
Bekas pemain tengah yang menjadi tonggak skuad kendalian Bobby Robson pada kejohanan di Itali itu berkata, kekuatan sebenar pasukan bukan hanya terletak pada kualiti pemain di atas padang, tetapi semangat kebersamaan yang wujud dalam seluruh skuad.
England mara ke separuh akhir Piala Dunia 1990 sebelum tewas menerusi penentuan penalti kepada Jerman Barat yang kemudian muncul juara.
“Anda mahukan 11 kapten di atas padang. Dalam perlawanan sebesar Piala Dunia, anda tidak boleh membawa pemain yang tidak memberikan sumbangan sepenuhnya.
“Semua pemain perlu memainkan peranan dan semangat berpasukan sangat penting. Pemain yang tidak diturunkan juga sentiasa berada di belakang pasukan.
“Sebab itu semangat pasukan kami ketika itu sangat luar biasa. Perkara paling penting adalah semangat berpasukan kerana ia boleh membawa anda pergi jauh,” katanya.
England yang kini dibimbing oleh Thomas Tuchel akan menentang Costa Rica dalam aksi persahabatan terakhir sebelum membuka kempen Kumpulan L menentang Croatia di Dallas pada 18 Jun ini.
Gascoigne turut menasihatkan pemain England supaya menikmati setiap detik di pentas Piala Dunia kerana peluang itu tidak datang dengan kerap.
“Nikmatilah pengalaman itu kerana anda tidak pernah tahu sama ada ia akan menjadi Piala Dunia terakhir dalam karier anda,” katanya.
Gascoigne kekal menjadi antara figura paling diingati dalam sejarah bola sepak England selepas menitiskan air mata pada separuh akhir Piala Dunia 1990 apabila menerima kad kuning yang akan menyebabkan dia digantung jika England mara ke final.
Di luar padang, kehidupannya pernah dibelenggu masalah ketagihan alkohol, namun bekas pemain berusia 59 tahun itu berkata, dia kini berada dalam keadaan lebih baik dan lebih gembira berbanding beberapa tahun lalu.
“Semuanya berjalan lancar. Saya rasa ini adalah tempoh paling bahagia dalam lima tahun kebelakangan ini,” katanya.
Gascoigne berkata, autobiografi terbaharunya turut menerima maklum balas positif apabila ada pembaca mendakwa buku itu membantu mereka mengharungi cabaran hidup.
“Ramai datang kepada saya dan memberitahu mereka membaca buku itu dan ia menyelamatkan hidup mereka.
“Jika buku itu dapat menyelamatkan seorang individu pun, saya sudah menjalankan tanggungjawab saya,” katanya sambil berseloroh bahawa dia sendiri mungkin perlu membaca semula buku berkenaan.
Menurutnya, dia kini memilih untuk menjalani kehidupan dengan lebih sederhana dan memberi tumpuan kepada satu hari pada satu masa.
“Saya tidak terlalu memikirkan hari esok. Saya hanya cuba menjalani hari ini dengan sebaik mungkin. Ada hari yang sukar, tetapi saya terus mencuba,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




