PRK Nenggiri: 20,259 buang undi esok, keputusan dijangka seawal 9 malam

PRK Nenggiri: 20,259 buang undi esok, keputusan dijangka seawal 9 malam

Gua Musang: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan ditentukan 20,259 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mengundi esok, selepas tamat 14 hari tempoh berkempen.

Kesemua 20 pusat mengundi melibatkan 46 saluran akan dibuka bermula 8 pagi hingga 6 petang dengan enam daripadanya mempunyai jumlah pengundi yang sedikit akan ditutup lebih awal.

Empat pusat mengundi akan ditutup 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai, manakala dua lagi ditutup 3 petang iaitu Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan SK Pulat.

Proses penjumlahan undi pula akan berlangsung di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di sini dengan Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) menjangkakan keputusan dapat diumumkan seawal 9 malam esok.

Jabatan Meteorologi Malaysia menerusi laman web meramalkan cuaca cerah sepanjang proses pengundian yang menyaksikan kedua-dua calon, iaitu calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mengundi di tempat sama iaitu Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama.

Nenggiri ialah satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Gua Musang, berkeluasan 235,300 hektar atau hampir dua kali ganda keluasan Melaka.

Berdasarkan statistik SPR, daripada 20,259 pengundi berdaftar, 14 anggota polis telah mengundi secara pos yang menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka, manakala secara keseluruhan sebanyak 43 kertas undi pos telah dikeluarkan pada 5 Ogos lepas kepada individu yang berhak.

Bagi membantu melancarkan proses pengundian, seramai 431 petugas SPR, dan seramai 995 anggota polis akan bertugas.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas setelah bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 Ogos tahun lepas, Mohd Azizi menewaskan calon BN Ab Aziz Yussof dengan majoriti 810 undi.

Ini ialah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang).

Selain itu, Ikmalrudin dalam kenyataan mengingatkan majikan supaya membenarkan tempoh munasabah kepada pekerja yang berdaftar sebagai pengundi pada hari mengundi sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau juga mengingatkan 20,216 pengundi biasa yang bakal menjalankan tanggungjawabm agar sentiasa mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan SPR.

“Penggunaan telefon bimbit oleh pengundi di saluran adalah tidak dibenarkan. SPR turut menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata semua pengundi yang ingin memasuki pusat mengundi adalah dilarang memakai pakaian, aksesori atau membawa bahan yang mempunyai nama, lambang, simbol atau apa-apa bahan kempen yang cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Kegagalan pengundi mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh menyebabkan pengundi dilarang memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya,” katanya.

Ikmalrudin berkata SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam dan sebarang pelanggaran undang-undang boleh dikenakan tindakan.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada pukul 11.59 malam ini.

“Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan melalui saluran media sosial seperti Facebook, X (Twitter), Instagram, Tik-Tok dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata semua parti atau calon bertanding dilarang membuka, membina atau menyelenggara ‘barung’, esok kerana ia juga merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top