Miami, Amerika Syarikat: Bekas kapten England, David Beckham memberikan kata kata semangat kepada Harry Kane selepas The Three Lions melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2026, sambil mengingatkan penyerang itu supaya terus percaya kepada peluang mencipta sejarah bersama negaranya.
Beckham yang hadir menyaksikan aksi suku akhir menentang Norway di Hard Rock Stadium bersama keluarganya, meraikan kejayaan dramatik England yang menang 2 -1 menerusi masa tambahan hasil dua jaringan Jude Bellingham.
Selepas kemenangan itu, Kane memuat naik mesej kepada penyokong England dengan menyeru pasukan terus percaya menjelang aksi separuh akhir menentang Argentina.
Bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu kemudian membalas hantaran kapten England berkenaan dengan mesej ringkas tetapi penuh makna.
“Syabas kapten, teruskan percaya,” tulis Beckham sebagai tanda sokongan kepada Kane.
Beckham sendiri pernah memimpin England di pentas Piala Dunia, namun tidak pernah merasai pengalaman beraksi di separuh akhir kejohanan terbesar dunia itu.
Kini, beliau melihat Kane berada di kedudukan terbaik untuk melakukan sesuatu yang gagal dicapai generasi terdahulu iaitu membawa England ke final dan memburu trofi Piala Dunia kedua selepas kejayaan pada 1966.
Kane, yang menjadi kapten England sejak beberapa tahun lalu, terus memainkan peranan penting dalam kempen kali ini apabila bergandingan bersama Bellingham sebagai nadi utama serangan The Three Lions.
Penyerang berusia 32 tahun itu sudah meledak enam gol di Piala Dunia 2026, manakala Bellingham turut mencatat jumlah sama, menjadikan mereka penyumbang 12 daripada 13 jaringan England setakat ini.
Namun cabaran seterusnya bukan mudah apabila England bakal berdepan Argentina yang mahu mempertahankan kejuaraan dunia mereka dalam aksi separuh akhir di Atlanta.
Dengan pengalaman Beckham sebagai bekas kapten serta sokongan daripada legenda England lain, Kane kini memikul harapan jutaan penyokong untuk menamatkan penantian 60 tahun The Three Lions menjulang trofi paling berprestij dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




