Nulipara ancam kaum hawa

Nulipara ancam kaum hawa

razis@mediaprima.com.my

KEHADIRAN cahaya mata bagi setiap pasangan yang berkahwin adalah suatu rahmat.

Anak membawa kebahagiaan yang luar biasa dan memberi kehidupan yang lebih bermakna kerana mempunyai hala tuju untuk meneruskan kehidupan.

Pendaftar Sakit Puan, Metro IVF Dr T Deepashni berkata, meskipun ada pasangan yang sedang berusaha untuk mendapatkan cahaya mata, kini terdapat trend untuk menjalani gaya hidup tanpa mempunyai anak menjadi ikutan.

Katanya, pasangan yang berkahwin dengan gaya hidup tanpa anak bukanlah perkara baharu kerana di negara barat, ia sudah berlaku sejak tahun 1960-an.

“Dengan kemunculan platform media sosial yang luas, budaya memilih menjalani kehidupan tanpa anak bagi pasangan yang berkahwin mendapat populariti terutama dalam kalangan milenium dan Gen Z.

“Fenomena ini mula menular di Malaysia di mana ramai pasangan yang baru berkahwin cenderung membuat pilihan kehidupan tanpa mempunyai anak.

“Bekerjaya, keperluan kewangan, tiada kongkongan, peka terhadap alam sekitar, penumpuan penuh terhadap pasangan, fleksibiliti gaya hidup, kesejahteraan fizikal dan mental adalah faktor yang dinyatakan dalam memilih gaya hidup bebas anak,” katanya.

Dari perspektif perubatan, kajian menunjukkan wanita yang tidak pernah melahirkan bayi hidup atau lebih dikenali sebagai Nulipara lebih berisiko untuk beberapa masalah kesihatan.

Menurutnya, Nulipara meletakkan wanita berisiko untuk kanser reproduktif seperti kanser payudara, ovari dan endometrium.

“Wanita yang terdedah kepada hormon endogen seperti estrogen dan progesteron yang dihasilkan ovari dalam tempoh yang lama berisiko lebih tinggi mendapat kanser payudara.

“Hormon ini berkurangan dengan setiap kehamilan. Wanita Nulipara mempunyai risiko 20 peratus hingga 40 peratus lebih tinggi mendapat kanser payudara selepas menopaus berbanding wanita Parous yang pertama kali melahirkan anak sebelum umur 25 tahun.

“Ibu yang melalui lima kehamilan mempunyai risiko 50 peratus lebih rendah daripada wanita Nulipara untuk mengalami kanser payudara,” katanya.

Tambahnya, dalam kajian kawalan kes Lane-Claypon, wanita yang tidak menyusukan bayi dikaitkan dengan risiko kanser payudara yang lebih tinggi.

“Wanita yang menyusukan bayi sekurang-kurangnya setahun menunjukkan risiko kanser payudara yang lebih rendah kerana kebanyakan wanita mungkin tidak mengalami ovulasi ketika menyusu secara tidak langsung mengurangkan pendedahan kepada hormon yang dinyatakan di atas.

“Penyusuan susu ibu juga mungkin mengubah sel-sel payudara dengan cara yang boleh menyebabkan ibu mempunyai risiko lebih rendah untuk mengalami kanser payudara,” katanya.

Mengulas lanjut, berdasarkan analisis Persatuan Penyelidikan Kanser Amerika daripada Konsortium Kohort Kanser Ovari, risiko kanser ovari meningkat dengan peningkatan bilangan kitaran ovulasi sepanjang hayat wanita.

“Kehamilan dapat membantu mengurangkan bilangan kitaran ovulasi seumur hidup sekali gus turut mengurangkan risiko kanser ovari,” katanya.

Beliau berkata, wanita Multipara (mengalami proses kehamilan beberapa kali) diketahui mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat kanser endometrium berbanding wanita Nulipara.

“Kurang ovulasi dan peralihan keseimbangan hormon seks dengan penurunan paras estrogen dan peningkatan paras progesteron ketika kehamilan secara tradisinya dianggap sebagai penyumbang utama kepada penurunan risiko ini.

“Selain risiko kanser reproduktif, Osteoporosis dan kesan kesihatan kardiovaskular adalah antara risiko lain yang boleh dihadapi oleh Nulipara,” katanya.

Jelasnya, sesetengah pasangan mungkin rasa kesal dengan pilihan yang dibuat menjalani gaya hidup tanpa memiliki anak atau berubah fikiran pada usia yang semakin meningkat.

“Segelintir pasangan pula membuat pilihan kerana masalah kesihatan atau mengalami isu kesuburan.

“Justeru itu, pasangan itu disarankan untuk mendapatkan khidmat Perunding Kesuburan atau Fertiliti. Mereka boleh bertemu pakar kesuburan untuk sesi rundingan kerana dengan kemajuan teknologi perubatan, peluang untuk memperoleh cahaya mata semakin meningkat. Buktinya Persenyawaan In Vitro atau Teknik Pembiakan Berbantu yang lain membuahkan hasil kepada ramai yang ingin membina keluarga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top