Amir Ghalenoei kekal kendali Iran buru kejuaraan Piala Asia

Amir Ghalenoei kekal kendali Iran buru kejuaraan Piala Asia

Tehran: Ketua jurulatih Amir Ghalenoei akan terus mengemudi skuad kebangsaan Iran bagi menghadapi cabaran Piala Asia di Arab Saudi pada Januari depan selepas kontraknya dilanjutkan sehingga kejohanan berprestij benua itu.

Perkara itu disahkan Persatuan Bola Sepak Iran pada Ahad selepas Amir berjaya membawa pasukan berkenaan mengharungi kempen Piala Dunia 2026 yang menyaksikan mereka hampir mara ke pusingan kalah mati.

Iran mencatat tiga keputusan seri berturut-turut di peringkat kumpulan, namun gagal melangkah ke pusingan seterusnya dengan perbezaan tipis.

Amir, yang mula mengendalikan Iran sejak 2023, akan meneruskan tugasnya selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj mengesahkan pihaknya sudah menerima perancangan jurulatih berusia 62 tahun itu untuk menghadapi Piala Asia.

“Amir akan kekal sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan. Kami sudah menerima perancangannya untuk Piala Asia AFC.

“Kem latihan skuad kebangsaan bagi jendela antarabangsa FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) akan bermula tidak lama lagi. Terdapat juga beberapa perkembangan yang dirancang untuk pasukan kebangsaan,” katanya seperti dipetik Tehran Times.

Ini adalah tempoh kedua Amir mengendalikan Iran selepas pernah memimpin pasukan itu pada 2007 sebelum kembali memegang jawatan berkenaan pada 2023.

Dalam tempoh terdahulu, beliau membantu Iran mara ke suku akhir Piala Asia 2007, manakala pada edisi 2023 membawa pasukan itu ke separuh akhir.

Iran kini memburu kejuaraan Piala Asia keempat selepas tiga kali muncul juara sebelum ini, dengan gelaran terakhir diraih pada 1978.

Piala Asia 2027 akan membuka tirai pada 7 Januari depan, manakala aksi final dijadual berlangsung di Riyadh pada 5 Februari.

Iran diundi dalam Kumpulan C bersama Syria, Kyrgyzstan dan China, sekali gus dilihat memiliki peluang cerah untuk mara ke peringkat seterusnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top