Manchester: Joshua Zirkzee muncul wira Manchester United pada penampilan sulungnya selepas meledak gol kemenangan lewat permainan untuk mengalahkan Fulham 1-0 dalam aksi pembuka tirai Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
Zirkzee, yang kekurangan tahap kecergasan selepas perpindahannya bernilai £36.5 juta (RM208 juta) dari Bologna bulan lalu, hanya masuk pada setengah jam terakhir perlawanan.
Pemain antarabangsa Belanda itu menyelamatkan Red Devils daripada malam yang mengecewakan di Old Trafford apabila menyambut hantaran Alejandro Garnacho pada minit ke-87.
“Untuk menang di sini pada perlawanan pertama saya di halaman sendiri dan menjaringkan gol, tiada yang lebih bermakna daripada daripada detik ini.
“Saya diberitahu (menjaringkan gol di Stretford End) adalah salah satu detik terbaik di Manchester United.
“Saya sangat bersyukur dan berasa bertuah dapat merasainya dalam perlawanan pertama saya. Ia adalah perasaan yang menakjubkan,” kata Zirkzee.
Pengurus United, Erik ten Hag berjaya mempertahankan jawatannya sehingga hujung musim lalu walaupun mereka menamatkan saingan liga di tempat kelapan, namun kejayaan menjulang Piala FA menyelamatkan dirinya.
“Saya melihat banyak ruang di mana kami perlu perbaiki tetapi itu adalah perkara biasa. (Kemenangan) ini baik untuk meningkatkan keyakinan,” kata Ten Hag.
Pengurus Belanda itu mendedahkan sebelum perlawanan bahawa pasukannya “belum bersedia” untuk menghadapi kempen baharu dengan barisan pemain utama yang tidak dapat beraksi kerana kecederaan atau kurang tahap kecergasan dan ia jelas benar.
Bruno Fernandes memulakan peranan sebagai penyerang tengah berikutan ketiadaan Rasmus Hojlund, manakala Zirkzee pada mulanya berada di bangku simpanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



