sukan@hmetro.com.my
Kuching: Perguruan di United Kingdom nyata memberi pulangan lumayan buat atlet Wilayah Persekutuan, Kristian Tung apabila merangkul pingat emas pada percubaan pertamanya beraksi dalam acara 10,000 meter (m) lelaki di Sukma Sarawak 2024.
Malah, Kristian, 20, yang sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sains Sukan di Universiti Loughborough, berkata jurusan yang diambilnya itu turut membantu melonjakkan prestasinya.
Katanya, di United Kingdom, dia berlatih di bawah bimbingan pasangan suami isteri, Chris dan Sonia Mcgeorge.
“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Ini kali pertama saya beraksi dalam 10,000m, saya sebenarnya pelari 5,000m.
“Saya anggap aksi di Sukma ini sebagai ujian kerana pada masa depan saya menyasarkan untuk mewakili Malaysia dalam 5,000 dan 10,000m.
“Saya sudah tiga tahun di United Kingdom. Saya bertuah kerana mendapat bimbingan jurulatih yang bagus di sana, saya hanya mengikut setiap program latihan yang disusunnya.
“Di sana juga ada ramai atlet yang bagus-bagus dalam acara ini dan saya boleh uji kemampuan dengan mereka dan belajar daripada mereka. Selain itu, jurusan yang saya ambil juga banyak membantu saya.
“Ia membolehkan saya belajar mengenai pemakanan yang betul sebagai atlet dan cara-cara untuk menjaga tubuh badan sentiasa kekal cergas,” katanya yang turut akan beraksi dalam acara 5,000m dan 1,500m.
Terdahulu, Kristian membuktian tiada apa yang mustahil biarpun kali pertama beraksi dalam acara 10,000m apabila memenangi emas dengan catatan 33 minit 48.049 saat (s).
Dia mengatasi atlet Perak, Muhammad Farooq Muhammad Zubair Kanan yang menduduki tempat kedua (33:56.008s) manakala Nikos Tai Lee Onn dari Sabah ketiga (33:56.010s).
Dalam pada itu, Kristian berharap dia akan diberi peluang untuk merealisasikan impiannya untuk mewakili Malaysia di peringkat Sukan Sea dan Sukan Asia.
“Saya juga harap boleh pecahkan rekod kebangsaan satu hari nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




