Zen Hong, Chen Jie si 'penembak tepat' Sukma

Zen Hong, Chen Jie si 'penembak tepat' Sukma

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuching: Dua atlet muda di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 layak digelar penembak tepat apabila masing-masing merangkul emas keenam pada hari keempat acara menembak dipertandingkan di Lapang Sasar Menembak, Petra Jaya, sebentar tadi.

Ketepatan ‘hitman’ Pahang’, Cheah Zen Hong cukup sukar digugat apabila menambah dua lagi pingat emas dalam acara Pistol 25 meter (m) lelaki individu dan berpasukan.

Walaupun pada pusingan pertama atlet berusia 18 tahun itu agak goyah namun dia kembali tampil dengan tembakan menyakinkan untuk memenangi emas selepas mengutip 574 mata sekali gus memecahkan rekod Sukma 16 tahun lalu yang dilakukan atlet Pahang, Khairul Azri Mohd Roslan (571 mata).

Pingat perak dan gangsa masing-masing dibolot atlet Terengganu, Azahari Azrin Sallehin serta Ahmad Badrul Hisyam Banin Al Ghazali (533 mata dan 530 mata).

Zen hong bersama Zulkefli Azrul Akmal dan Zunaidi Putera Muhammad Akram Idham turut memenangi emas dalam acara acara Pistol 25 m lelaki berpasukan selepas cemerlang mengutip 1,691 mata.

Tempat kedua pula milik wakil tuan rumah yang diwakili Abdullah Mohammad Amirul Hakim, Kelukin Justin Joannes dan Abdullah Mohammad Syah Nurwandi Iqwan (1,639 mata) manakala gangsa milik Terengganu menerusi trio Azahari Azrin Sallehin, Mohd Shahrizan Muhammad Shah Badli serta Ahmad Badrul Hisyam Banin Al Ghazali (1,630 mata).

Sebelum ini, Zen Hong mencipta sensasi kerana turut memadam rekod dipegang Abdul Hadi Abdul Malik dari Pahang yang dilakukan pada edisi 2012 dalam acara 10m air pistol individu lelaki.

Sementara itu, ‘penembak tepat’ wanita Negeri Sembilan, Gan Chen Jie turut membuktikan dia sukar digugat apabila membawa pulang enam emas dengan terbaharu menerusi acara rifle udara 10m wanita individu dan berpasukan.

Malah, dia juga setakat ini sudah memecah empat rekod Sukma dalam dua acara membabitkan 50m tiga posisi individu dan terkini 10m rifle udara individu wanita.

Chen Jie mengesahkan pingat emas selepas mengutip 248.2 mata sekali gus memadam rekod 243.7 mata yang dilakukan atlet Pulau Pinang pada 2022 di Sukma Kuala Lumpur.

Atlet Pulau Pinang, Nur Maisarah Dzulkifli pula membawa pulang perak (245.9 mata) manakala wakil Sarawak, Kaira Ramadhani Azman memenangi gangsa (220.4 mata).

Dia turut membantu Negeri Sembilan mengesahkan kemenangan untuk kategori berpasukan bersama Aina Zahara Baharum dan Yee Xuan Tan menerusi kutipan 1,846.4 mata.

Catatan itu mengatasi wakil Pulau Pinang, Nur Maisarah, Nur Sumayyah Dzulkifli dan Situ Zulaika Haira Rosman yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua (1,844.1 mata).

Gangsa pula menjadi milik trio Sabah, Chenny Herman, Nurhafizah Didin dan Nur Aina Nastasya Anderson (1,819.7 mata).

Selain itu, Chen Jie berkata, enam emas termasuk dua rekod baharu Sukma yang berjaya dicatatnya adalah kenangan terindah sepanjang berkecimpung dalam sukan menembak.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak kerana banyak menyokong dan memberi bantuan hingga berjaya merangkul kejayaan di pentas Sukma Sarawak.

“Jika diikutkan saya hanya mahu mengharumkan nama Negeri Sembilan dan tidak meletakkan sasaran tinggi. Namun, itu semua rezeki dan akan cuba membawa pulang lagi pingat pada hari terakhir acara menembak,” katanya yang akan turun beraksi dalam acara rifle udara 10m campuran esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top