Munich: Penjaga gol Jerman Manuel Neuer mengumumkan persaraan daripada peringkat antarabangsa semalam selepas beraksi 124 kali untuk negaranya sejak 2009.
Pemain Bayern Munich berusia 38 tahun itu dinobatkan pemenang sarung tangan emas ketika Jerman menjuarai Piala Dunia 2014.
“Hari ini berakhirnya karier saya bersama pasukan kebangsaan Jerman,” kata Neuer di Instagram.
“Sesiapa mengenali saya tahu bahawa saya tidak membuat keputusan ini dengan mudah apatah lagi dengan fizikal yang saya rasa masih ok dan sudah tentu tarikan Piala Dunia 2026.
“Tetapi keputusan ini perlu dibuat dan saya rasa ia masa yang tepat untuk saya akhiri perjalanan dengan skuad kebangsaan,” katanya.
Persekutuan Bolasepak Jerman (DFB) berkata, Neueer antara penjaga gol terhebat sepanjang zaman negara itu.
“Anda mengubah permainan penjaga gol. Sama seperti pasukan ini. Pasukan anda. Sebagai kapten dan contoh. Kami akan rindukan anda!”
Persaraan Neuer hanya dua hari selepas pemain tengah Jerman Ilkay Gundogan turut bersara daripada bola sepak antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




