safeek@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kejadian lubang benam yang berlaku di Jalan Masjid India, di sini hari ini tidak menggambarkan bahawa kawasan itu tidak selamat, apatah lagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerap melakukan pemantauan meskipun mendapan pernah berlaku, tahun lalu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, tahap keselamatan di kawasan itu juga disahkan sendiri oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Kawasan ini selamat dan tidak ada masalah atau sebab untuk kita (DBKL) menutup kawasan ini, malah aktiviti perniagaan boleh beroperasi seperti biasa.
“Selain itu tiada sebarang aktiviti pengorekan berlaku di kawasan sekitar Masjid India,” katanya selepas meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lubang benam, malam tadi.
Maimunah berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan pagi tadi, pihaknya membuat semakan jajaran utiliti bawah tanah di sekitar kawasan kejadian sebelum mengesan laluan paip kumbahan bersaiz 1.5 meter diameter.
“Proses pengesanan mangsa pada jajaran saluran paip kumbahan dilakukan sejak 4 petang tadi, namun sehingga kini mangsa masih belum ditemui.
“Pada masa ini kami (DBKL), bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergerak sebagai satu kumpulan bekerja keras untuk mencari dan seterusnya menyelamatkan mangsa,” katanya.
Terdahulu, Vijayaletcuhmy, 46, berasal Andhra Pradesh, India, terjatuh dalam lubang tanah jerlus pada 8.25 pagi tadi ketika sedang berjalan dari arah Selangor Mansion menuju ke Wisma Yakin.
© New Straits Times Press (M) Bhd
