Birmingham: Jika Arsenal mahu mengakhiri penantian 20 tahun meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), mereka memerlukan sumbangan daripada setiap pemain musim ini dan Leandro Trossard sekali lagi membuktikan nilainya dari bangku simpanan dalam kemenangan ke atas Aston Villa.
Arsenal berkunjung ke Midlands untuk menentang Villa yang mengalahkan mereka dua kali dalam EPL musim lalu, kekalahan yang akhirnya menjejaskan peluang bergelar juara dan kali ini terpaksa menghadapi tekanan dari pasukan tuan rumah.
Pada saat yang kritikal dalam perlawanan itu, Trossard mengambil peluangnya, menjaringkan gol dengan sentuhan pertama selepas dimasukkan sebagai pemain gantian untuk memastikan Arsenal meraih kemenangan 2-0.
Enam daripada 14 gol Trossard dalam EPL untuk Arsenal dijaringkan sebagai pemain gantian.
Ketika Manchester City memulakan musim dengan dua kemenangan dalam usaha mengejar gelaran EPL kelima berturut-turut, pemain yang memberi impak dari bangku simpanan seperti Trossard akan menjadi sangat penting untuk Arsenal.
“Pertama sekali, apabila anda tidak terpilih, ada cara-cara tertentu untuk bertindak balas,” kata jurulatih Mikel Arteta kepada wartawan.
“Leo (Trossard) berasa kecewa, tetapi dia kecewa kerana dia tidak dapat menunjukkan betapa baiknya dia di atas padang, bukan kecewa kerana dia tidak bermain.
“Itu adalah kualiti yang tinggi. Apabila anda meletakkannya dalam kesebelasan utama, dia melakukan perkara yang sama. Itu adalah mesej dan contoh yang jelas untuk seluruh pasukan dan diri saya.”
Ketahanan yang ditunjukkan Arsenal di Villa Park memberikan mereka peluang yang baik untuk mengekalkan persaingan dengan City.
“Apabila kami membuat perubahan, impaknya adalah besar,” tambah Arteta.
“Apabila pasukan mula dilengkapi dengan cara itu dan mula mampu melalui konteks yang berbeza dalam perlawanan, ia menjadi pasukan yang boleh menang di mana-mana tempat. Hari ini kami menunjukkan perkara itu.
“Apabila kami perlu bergantung pada individu tertentu, kami melakukannya, dan itu bukanlah sesuatu yang buruk.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




