khairil.ashhraf@hmetro.com.my
FOTO Aiman Hariz Azhar
Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) digesa untuk mengikut proses undang-undang sekiranya mahu mencabar kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri, baru-baru ini.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil turut menyindir PN yang seolah-olah tidak ‘move on’ terhadap keputusan PRK itu.
“Kalau dia tidak boleh ‘move on’, ikut proseslah. Dia (PN) seperti Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin), nampaknya belum boleh ‘move on’,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Pentarama dan Kelab Malaysiaku sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai, di sini, hari ini.
Sebelum ini dilaporkan PN sedang mengumpul bukti untuk memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan kemenangan calon BN pada PRK Dun Nenggiri.
Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamaruddin Md Noor dilapor berkata, bukti itu membabitkan dakwaan BN merasuah dan mengancam pengundi sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu
Mengulas mengenai kenyataan perwakilan Umno semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 bahawa PH akan memperoleh manfaat apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan, Fahmi berkata, mana-mana kes melibatkan pengampunan, perlulah mengikut proses.
“Ada prosesnya. Kita patuh dan turuti proses tersebut. Jadi, selain daripada itu, saya rasa fokusnya adalah kepada proses itu yang menjadi keutamaan,” katanya.
Ketika PAU 2024 yang berlangsung pada Sabtu, jurucakap Umno Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar berkata, masanya tiba agar satu usaha yang bersungguh-sungguh dibuat oleh Umno mengikut lunas undang-undang untuk membebaskan bekas presiden parti itu.
Dakwanya, pembebasan Najib akan menjadi pemangkin kepada kebangkitan BN, selain ia turut akan memberikan manfaat kepada PH.
© New Straits Times Press (M) Bhd
